Kelebihan Bulan Rejab Dalam Islam

Apakah kelebihan dan keistimewaan bulan Rejab mengikut perspektif Islam iaitu Al-Quran dan As-Sunnah? Bulan Rejab juga adalah antara bulan yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam selain bulan Ramadhan, kerana di bulan ini umat Islam boleh memperbanyakkan ibadah.

Bulan Rejab

Pengenalan Bulan Rejab

Rejab ertinya Mulia. Bulan Rejab adalah bulan yang mulia. Ia diberi nama sebegitu kerana orang Arab pada zaman dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu:
  1. Pada 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai korban.
  2. Pada 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Kaabah siang dan malam supaya dapat beribadah dengan sepuas - puasnya.
  3. Pada 10hb Rejab mereka kembali semula menyembelih korban tetapi bukan lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya agama Islam.
  4. Bulan ini diharamkan berperang, setelah datangnya Agama Islam amalan ini juga telah dibatalkan.
Pada 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Israk dan Mikraj. Terdapat khilaf di kalangan ulama mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Israk dan Mikraj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

Kelebihan Bulan Rejab Menurut Al - Quran

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati” (Al-Baqarah: 194)
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram..”(At-Taubah: 36)

Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam pada bulan itu.

Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia adalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

Kelebihan Bulan Rejab Menurut As -Sunnah


Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.

Rujukan Anda:


Tag : Agama
2 Comments for "Kelebihan Bulan Rejab Dalam Islam"

Assalam,

satu perkongsian yang sangat bermanfaat...

terima kasih sudi ke TERATAK BUNDA...

@BUNDA a.k.a KN Wassalam, sama-sama. Terima kasih jugak kepada Bunda yang dihormati kerana sudi singgah ke blog orang Terengganu ni.

Mesyuarat Sedang Berlangsung. Sila Berhujah Dengan Penuh Tatatertib.

Back To Top