Selamat Tahun Baru 2015

Salam satu Malaysia. Selamat menyambut tahun 2015 kepada semua pembaca blog Bukit Besi. Tahun 2015 adalah lembaran baru untuk kita semua. Semoga di tahun baru ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita semua.

tahun baru 2015
Mungkin ada diantara pembaca blog ini tertanya-tanya kenapa tidak dikemaskinikan seperti sebelum ini. Untuk makluman anda semua, penulis menghadapi beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan dan masa untuk berblog memang tiada namun hati selalu teringat untuk update di blog ini. Antara masalah penulis adalah seperti Ayahnda tercinta pulang ke rahmatullah, kesihatan isteri penulis tidak memuaskan, urusan perniagaan dan pemindahan seperti angkut barang, tukar alamat dan banyak lagi. Ye sangat banyak.

Saya akan mengemaskinikan blog ini seperti biasa iaitu sebulan sekali atau seminggu sekali padahal sepurnama sekali sebenarnya. In sha Allah, mudah-mudahan semua akan back to normal.

Dun Bukit Besi
Oh ya, selama saya tidak online bermacam peristiwa sedih dan sebagainya berlaku di Malaysia. Berkaitan dengan musim banjir dan pesawat Air Asia yang terhempas. Saya mendoakan kebaikan untuk mereka semua. Sekiranya anda ingin membantu mangsa banjir di Terengganu. Sila rujuk gambar di atas.

Saya ada kejutan untuk anda semua. Stay tuned.

Tanaman dan Penjagaan Bunga Orkid di Malaysia

Bunga orkid yang cantik

Bunga orkid adalah antara tumbuhan yang paling popular di dunia. Cantik, berbagai bau dan berbagai warna seperti ungu, merah, kuning, biru, hijau, coklat dan banyak lagi. Bermacam jenis orkid ada dijual di pasaran setiap hari, tetapi adakah anda tahu bahawa hutan di Malaysia adalah antara hutan yang mempunyai ribuan jenis dan spesies orkid.

Melalui kajian, lebih kurang 2500 spesies di Sabah dan Sarawak, dan lagi 850 spesies di Semenanjung Malaysia. Orkid biasanya membiak di kawasan hutan, tetapi hari ini, ramai peminat orkid dari seluruh dunia membela, menyemai dan menjadikan koleksi jenis-jenis orkid untuk menghiasi rumah-rumah dan taman-taman mereka malah orkid juga kini adalah salah satu perniagaan yang terbaik di Malaysia.

Teknik, petua dan cara penjagaan orkid adalah dengan memahami keperluan hidup tanaman ini mengikut jenis tertentu. Baja dan air adalah keperluan utama untuk kebanyakkan jenis orkid, walau bagaimanapun, terdapat beribu-ribu jenis orkid yang hidup dalam keadaan yang pelbagai.

Cara menanam pokok orkid adalah mengikut jenis dan anda perlu mengenali jenis orkid untuk menanamnya. Inilah yang menarik perhatian pada peminat orkid kerana mengenali dan menjaga orkid boleh menjadi satu cabaran dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

laman orkid

Cara Dan Teknik Penjagaan Orkid


  • Arang biasanya digunakan untuk orkid memanjat atau dikenali sebagai orkid epifit (Epiphytes) dan boleh juga digabungkan dengan batu-bata. Pecahan arang perlu direndam selama semalaman untuk menghilangkan garam yang biasanya diperolehi daripada kayu bakau.
  • Batu-bata juga digunakan untuk orkid epifit iaitu orkid yang menjalar. Campuran pecahan arang dan batu-bata adalah perlu kerana kebanyakkan orkid memerlukan gabungan arang dan batu-bata. Batu-bata perlu direndam selama semalaman bersama racun kulat dan perlu dikeringkan sebelum menanam orkid.
  • Serbuk kayu diperlukan oleh orkid yang ditanam di dalam pasu dan juga jenis yang memanjat. Lazimnya, gabungan pecahan arang dan batu-bata diletakkan bersama serbuk kayu. Serbuk kayu perlu direndam selama semalaman bersama racun kulat untuk menghilangkan kekotoran yang terdapat di dalamnya. Keringkan serbuk kayu sebelum digunakan.
  • Batang Paku Pakis Gajah digunakan untuk tanaman orkid yang digantung. Ia mampu menyimpan air di dalam jangka masa yang teramat lama dan membantu orkid untuk terus hidup. cara menggunakannya adalah memotong dengan potongan yang bersesuaian mengikut pasu dan pokok orkid yang ingin ditanam.

Orkid Atas Tanah

Orkid Liar

Orkid Hutan

Baja Orkid

Cara penjagaan orkid di atas adalah pandangan dan kajian saya secara peribadi. Sebenarnya masih banyak lagi cara, teknik, penanaman dan penjagaan orkid yang bersesuaian mengikut jenis yang boleh anda dapati di luar sana dan juga melalui internet.

Sekiranya anda ingin berkongsi dan mendapatkan pengetahuan berkaitan dengan bunga orkid di facebook. Anda perlu menaip di ruang SEARCH di Facebook berkaitan dengan group orkid, peminat orkid dan sebagainya. Semoga anda sukses dan berjaya dengan minat anda terhadap orkid.

Resepi Bubur Nasi Ayam Sedap

cara buat bubur nasi

Resepi bubur nasi ayam yang sangat sedap dan simple serta dimasak secara sengaja pada hari ini, memandangkan saya sakit gigi dan telah mencabut gigi. Saya telah diberikan cuti sakit selama satu hari. Dengan keadaan gigi yang berdenyut dan rasa sakit selepas bius habis, perut pula lapar memanggil untuk diisi, saya berfikir untuk memasak bubur nasi ayam dicampur sayur atau ikan bilis.

Banyak resepi bubur nasi yang ada dalam internet, namun yang menarik perhatian saya, resepi bubur nasi togel daripada blog tiffin biru. Tapi saya tak sempat mencari bahan - bahan yang wajib untuk memasak bubur seperti di blog tersebut. Saya cuma memasukkan bahan asas dan yang mana sempat saja.

bubur nasi ayam

Bahan - Bahan Bubur Nasi


  • Satu cawan beras
  • Air yang banyak ( mengikut kadar yang anda tentukan supaya beras menjadi bubur )
  • Ayam dipotong halus
  • Sayur baby sawi atau siew pak choy dipotong halus
  • Carrot dipotong halus
  • 1/2 sudu teh halba campur
  • Bawang merah dan bawang putih dipotong nipis
  • Segenggam ikan bilis
  • Garam secukup rasa

Cara - Cara Memasak Bubur Nasi


  • Rebuskan beras sehingga menjadi bubur, jika perlu, tambahkan air sehingga menjadi bubur
  • Masukkan ayam yang dipotong. Saya rebus ayam terlebih dulu secara berasingan
  • Masukkan halba campur
  • Seterusnya sayur baby sawi dan lobak merah
  • Masukkan garam
  • Masukkan bawang dan ikan bilis yang telah siap digoreng berasingan

Siap resepi bubur hari ini untuk dimakan oleh orang yang sedang sakit gigi. Terima kasih kerana sudi membaca karangan resepi bubur nasi simple untuk kali ini. Peace!

Pengalaman Temuduga Penolong Pegawai Tadbir

Salam satu Malaysia. Saya sudah selesai menjalani sesi temuduga untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir gred N27 pada hari ini 5 Jun 2013, pada pukul 8 pagi, di Pusat Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Bilik temuduga di aras 3 dan nombor bilik temuduga E manakala nombor giliran 502 iaitu calon yang kedua untuk bilik temuduga E.

Ini adalah pengalaman pertama saya mendapat tawaran temuduga daripada SPA. Walaupun tidak ada pengalaman sebelum ini, tapi saya telah mencuba untuk mendapatkan jawatan ini. Ianya tidaklah semudah yang saya sangkakan dan tidaklah sukar untuk hadir ditemuduga seperti yang saya gambarkan. Sesi temuduga yang dijalankan sangat teratur dan setiap calon diberikan nombor mengikut turutan seperti anda berada di bank menunggu nombor giliran dipanggil.

Sebagai perkongsian yang ikhlas daripada saya kepada anda yang akan menghadiri temuduga PPT N27 ini, saya akan ceritakan daripada mula sesi temuduga sehingga tamat. Semoga pengalaman saya akan membantu anda untuk menjadi calon yang lebih baik dan terbaik untuk jawatan idaman anda ini, insyaAllah.

pengalaman temuduga
Pusat Temuduga SPA Jalan Cenderasari Kuala Lumpur

Pengalaman Temuduga Di SPA Jalan Cenderasari


Saya bertolak dari rumah pada pukul 6.45 pagi dan sampai di Jalan Cenderasari pada pukul 7.15 pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil sarapan pagi dulu di warung kopi berdekatan sebelum pergi ke pusat temuduga. Sambil bersarapan saya membaca Harian Metro untuk mengetahui isu semasa terkini seperti yang disarankan oleh kawan - kawan dan blogger - blogger yang memberikan tips dan panduan untuk jawatan PPT N27 ini. Pada masa yang sama saya membaca nota - nota yang saya buat sendiri mengenai skop jawatan Penolong Pegawai Tadbir N27.

Jam menunjukkan 7.35 pagi, saya bergerak ke bangunan SPA yang sangat dekat dengan lokasi tempat letak kereta dan warung kopi. Saya terus ke aras 2 seperti yang diarahkan oleh seorang lelaki yang manis memberi senyuman ikhlas yang berada di depan pintu masuk pusat temuduga. Saya kira beliau adalah pekerja di situ samada pengawal keselamatan atau sebaliknya kerana dia tidak memakai seragam hanya t-shirt merah dan berseluar slack.

Saya diminta meletakkan surat tawaran di dalam kotak yang disediakan di depan pintu masuk kaunter pendaftaran oleh Pegawai yang bertugas. Saya merasakan saya paling awal sampai, rupanya sudah ramai yang berada di situ lebih kurang dalam 40 orang. Tetapi kebanyakkan daripada mereka adalah perempuan manakala lelaki tidak lebih daripada 10 orang.

Nama saya dipanggil untuk menyerahkan dokumen penting seperti resume dan salinan sijil - sijil seperti yang dinyatakan di dalam surat tawaran. Pegawai yang memanggil saya seorang perempuan, raut wajah manis dan sangat serius tanpa memberi senyuman balas kepada saya. Mungkin tekanan kerja atau 'morning blues' yang membuatkan beliau 'moody'. Saya abaikan perkara tersebut, saya diberikan nombor giliran E502 dan diarahkan pergi ke aras 3 iaitu di ruangan menunggu untuk temuduga di bilik temuduga E.

Semasa menunggu saya berkenalan dan bersalaman dengan calon - calon lain yang berada di situ. Ada yang berumur 40 tahun lebih segak bergaya dan cantik, dan ada yang muda, yang memberi tumpuan kepada nota - nota yang dibawa. Mereka semua tidak sombong dan memberi senyuman serta sapaan. Bermulanya sesi perkenalan dan sesi bertukar nombor telefon. Inilah hikmahnya disebalik tawaran temuduga ini, walaupun belum tentu samada berjaya atau tidak, saya telah mendapat kenalan baru, baik dari lelaki dan perempuan.

Calon temuduga di situ, masing - masing berkongsi tips dan panduan temuduga semasa menunggu giliran. Ya, mereka tidak kedekut ilmu dan daripada mereka yang berpengalaman iaitu yang berkerja jawatan kerajaan, barulah saya tahu 'apa itu fail meja?'. Terima kasih Kak Fauziah kerana berkongsi tips dan pengalaman.

Pada pukul 8.25 pagi, nombor giliran saya telah terpapar di skrin hitam yang bertulisan merah di depan pintu temuduga. Jantung mula berdebar kencang dan saya masuk serta memberi salam, saya dapati 2 orang lelaki iaitu wakil panel temuduga. Seorang yang agak berumur dalam lingkungan 40an dan seorang lagi sangat muda, saya kira 30an. Raut wajah mereka sangat serius dan memandang tepat kepada saya. Saya diarahkan duduk dan diminta perkenalkan diri dan senaraikan tugas yang saya lakukan sekarang. Seterusnya soalan temuduga seperti di bawah.

Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir Gred N27

  • Apa yang anda tahu tentang isu Lahad Datu?
  • Apakah punca sebenarnya berlaku peperangan di Lahad Datu? 
  • Bilakah tarikh berlakunya peperangan di Lahad Datu? Bulan berapa?
  • Apakah inisiatif Kerajaan Malaysia bagi membendung isu Lahad Datu?
  • Apa itu ESSZONE dan ESSCOM?
  • Anda diminta menyediakan minit mesyuarat, apa yang patut anda lakukan?
  • Senaraikan tugas Penolong Pegawai Tadbir secara menyeluruh?
  • Apa itu Sistem Penyampai Kerajaan?
  • Berikan satu transformasi kerajaan dan huraikan transformasi itu
  • Anda ada soalan sebelum saya tamatkan sesi temuduga?
Sebenarnya saya tidak berpuashati dengan jawapan yang saya berikan untuk kesemua soalan - soalan yang ditanyakan. Bermula daripada sesi perkenalkan diri sehingga soalan terakhir. Saya agak gugup dan menjawab dengan jawapan yang kurang tepat. Saya banyak mengeluarkan kata 'kalau tak silap saya' dan 'er er er'. Saya telah praktis di rumah tapi masih juga keluar perkataan - perkataan berikut.

Untuk soalan isu Lahad Datu, saya ada membaca dan memberi jawapan seperti ditanya. Jawapan untuk punca peperangan dan tarikh berlakunya peperangan, saya yakin semuanya betul. Manakala saya gagal untuk menjawab, apa itu ESSCOM dan ESSZONE serta inisiatif kerajaan untuk membendung isu Lahad Datu. Wakil penemuduga yang memberikan jawapan.

Untuk soalan penyediaan minit mesyuarat pula, saya yakin betul, kerana saya ada membacanya. Ini jawapan saya, untuk menyediakan minit mesyuarat, kita perlu tahu kronologi satu - satu mesyuarat sebelum mengadakan mesyuarat. Sebagai contoh, program yang akan diadakan, belanjawan, nama ahli - ahli mesyuarat. Itu saja yang saya ingat.

Untuk soalan senarai tugas Penolong Pegawai Tadbir, saya menjawab sepertimana yang saya hafal dan ingat melalui entri yang saya kongsikan di dalam blog ini iaitu Deskripsi Tugas Penolong Pegawai Tadbir. Tetapi wakil penemuduga mengatakan, sebenarnya masih lagi banyak yang perlu awak tahu tentang skop tugas PPT N27 ini, antaranya keselamatan organisasi dan banyak lagi.

Saya gagal menjawab soalan apa itu sistem penyampai Kerajaan Malaysia. Sebenarnya soalan ini terlalu mudah dan saya boleh menjawab dengan lebih baik lagi. Jawapan untuk soalan ini, sebagai contoh MYEG yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk semua rakyat Malaysia bagi mengemaskinikan maklumat berkaitan dan untuk mendapat maklumat berkaitan dengan saman dan sebagainya. Namun, saya menjawab saya kurang pasti kerana saya tidak terfikir untuk jawapan ini dan saya agak gugup disebabkan saya tidak mendapat soalan - soalan sebelumnya.

Untuk soalan huraikan transformasi Kerajaan Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, saya membincangkan isu pendidikan yang mana Kerajaan Malaysia memberikan baucer buku untuk pelajar - pelajar sekolah. Penemuduga bertanya, berapa harga baucer tersebut? Saya menjawab RM100. Anda rasa betul ke jawapan saya? Penemuduga bertanya lagi, baucer tersebut diberikan kepada semua pelajar ke atau untuk pelajar - pelajar tertentu saja? Saya menjawab, untuk semua pelajar Malaysia yang terpilih. Saya rasa jawapan ini kurang tepat. Penemuduga masih lagi tidak memberi senyuman walaupun bertalu - talu saya senyum untuk menenangkan diri.

Dan akhir sekali, saya diberikan peluang untuk bertanyakan soalan sebelum mengakhiri sesi temuduga. Saya menanyakan tentang di Jabatan manakah jawatan Penolong Pegawai Tadbir yang terpilih untuk temuduga kali ditugaskan? Penemuduga menjawab di Jabatan Pertahanan Awam seperti di MINDEF dan lain - lain yang berkaitan dengan Jabatan Pertahanan Awam. Saya merasakan ini adalah soalan saya yang tak betul kerana di dalam surat tawaran telah ada dinyatakan Jabatan Pertahanan Awam. Soalan ini terkeluar secara spontan. Saya agak kesal kenapa saya bertanyakan soalan itu. Selepas bersalaman saya sempat mengatakan 'kalau ada rezeki kita berjumpa lagi'.

Selesai sudah pengalaman temuduga dan karangan temuduga untuk kali ini. Saya berharap pengalaman saya ini dapat membantu anda merancang dan membuat persediaan yang lebih baik lagi untuk berjaya dalam jawatan ini yang menjadi rebutan seramai lebih kurang 49, 000 orang di seluruh Malaysia yang berjaya mendapat tawaran temuduga.

Walaupun saya tidak berpuashati dengan jawapan dan sesi temuduga hari ini, sekurang - kurangnya saya telah mencuba dan mendapat pengalaman temuduga yang sangat berharga bagi saya di sektor awam. Andai ada rezeki saya dan saya terpilih, saya akan menjalankan tugas dengan ikhlas. Sekiranya tiada rezeki saya, dan saya gagal untuk jawatan ini, saya akur, kerana ini adalah kententuanNya. InsyaAllah.

Selamat maju jaya kepada anda yang akan menghadiri temuduga SPA, semoga dipermudahkan dan buatlah yang terbaik. Berjanjilah dengan diri anda sendiri yang anda boleh melakukan lebih baik lagi daripada orang lain. Jangan terlalu merendah diri dan keluarkan segala skil yang anda ada. Bagi saya, penemuduga hanya ingin tahu pengetahuan kita dan cara kita berkomunikasi. Semoga berjaya. InsyaAllah.

Rujukan Anda:

Deskripsi Tugas Penolong Pegawai Tadbir

Salam satu Malaysia. Sebagai persediaan untuk menghadiri temuduga Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 tidak lama lagi, di sini saya ingin kongsikan beberapa contoh soalan, tips dan panduan untuk diri saya sendiri dan juga kepada anda iaitu calon temuduga yang memerlukan info tambahan sebagai persediaan.

Penolong Pegawai Tadbir N27


Soalan Yang Dicari Calon Temuduga PPT Gred N27

Saya akan kongsikan dengan anda tentang huraian jawatan Penolong Pegawai Tadbir melalui sumber sahih yang akan saya nyatakan di bawah:

Bidang Tugas Penolong Pegawai Tadbir


Bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja yang berkaitan pengurusan kewangan, perolehan bekalan dan pembangunan, pengurusan, perkhidmatan personel, pengurusan pentadbiran pejabat, pengurusan majlis rasmi, mengendalikan urusan Konsuler dan Penguatkuasaan Undang-undang.

Kerja Penolong Pegawai Tadbir ini merangkumi 4 aspek utama iaitu POLC :
  • Planning
  • Organizing
  • Controlling
  • Leading

Pengurusan

  • Penyeliaan dan kepimpinan dalam jabatan/organisasi. Maknanya anda terlibat membantu dalam tugasan mengurus/selia/ memimpin jabatan/ anda berkhidmat termasuk kakitangannya
  • Menyelesai masalah dan membuat keputusan dari isu-isu yang timbul berkaitan petadbiran/ penyeliaan jabatan anda
  • Mengurus perjalanan tugas/projek/perjalanan satu-satu jabatan termasuk pengurusan kakitangan

Aspek Pentadbiran Pejabat

  • Sistem Fail dan Rekod – mengurus dengan efektif sistem failing/rekod unit/jabatan termasuk membuka fail baru, penutupan fail/rekod, pembukaan semula, pelupusan, arkib
  • Surat menyurat – menguruskan penyediaan surat, penghantaran surat – keluar dan masuk
  • Pengurusan mesyuarat – penganjuran mesyuarat, penyediaan minit menysuarat
  • Perhubungan – berkomunikasi dengan pelanggan kerajaan, termasuk rakyat
  • Arahan Keselamatan – memastikan panduan keselamatan disediakan di setiap unit/jabatan
  • Etika dan Protokol – menguruskan/menerangkan etika/protocol kerja kepada kakitangan

Hal-Hal Kewangan

  • Belanjawan dan perakaunan – menguruskan perbelanjaan unit/jabatan untuk kursus, majlis, mesyuarat dan menyediakan akaun untuk kesemua perbelanjaan
  • Prosedur pembelian, stok, penjualan dan sewaan – menyediakan prosedur dalam urusan pembelian, stok, jual dan sewaan termasuk penyediaan invois
  • Pembayaran dan penerimaan – menguruskan urusan pembayaran dan penerimaan kos untuk pembelian, jualan, sewaan dan stok
  • Tuntutan – menguruskan tuntutan termasuk tuntutan dari pelanggan kerajaan, kakitangan berkaitan OT, Claim, gaji dan lain - lain

Hal Teknologi Maklumat

  • Penggunaan/kemahiran computer – Microsoft office – word, power point, excel dll
  • Penggunaan internet
  • Penggunaan aplikasi, system yang berkaitan
Rujukan Anda:
Selamat maju jaya kepada semua calon temuduga Penolong Pegawai Tadbir N27 2013. Peace!

Free White Clean Magazine Template

Salam satu Malaysia. Pada masa ini 24 May 2013, blog Bukit Besi menggunakan template yang diberi nama White Clean Magazine Blogger Template yang boleh didapati melalui website Bietemplates.com. Template ini telah diubahsuai dan dikemaskinikan fail javascript dan fail css.

free blogger template
Before ( Original )
blogger template
After - Bukit Besi Blog
Free blogger template
Template yang telah diubahsuai
Dapatkan secara percuma white clean magazine blogger template, sekiranya anda berminat sila ke website bietemplates.com dan ipietoon.com. Bermacam jenis template mengikut rekaan terkini terdapat di laman blog template tersebut.

Bagaimana Cara Tukar Post Title Font

Saya hanya menukarkan css code seperti di bawah:
.post h2 { css code } .post h2 a { css code }
 Sekiranya ada pengguna template yang sama, anda mempunyai soalan berkaitan dengan template ini, anda boleh ajukan soalan melalui ruangan komen. Saya akan cuba membantu apa yang saya tahu. Peace!

Temuduga Penolong Pegawai Tadbir N27

Salam satu Malaysia. Debaran pasti ada kepada mereka yang baru pertama kali akan menghadiri tawaran temuduga Penolong Pegawai Tadbir Gred N27. Tetapi mungkin tidak kepada calon yang pernah ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) ini.

Temuduga PTT Gred N27

Begitu juga saya yang akan menghadiri temuduga untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 pada pukul awal bulan Jun 2013 ini, di Pusat Temuduga, SPA, Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Ini adalah kali pertama saya mendapat tawaran temuduga di sektor awam iaitu untuk jawatan kerajaan.

Apa sekalipun, saya harus mencuba, tawaran seperti ini tidak selalunya ada, yang paling penting saya harus mencuba. Saya membuat kajian melalui internet iaitu dari blog - blog personal yang menceritakan pengalaman mereka dan ada juga seperti saya yang masih mencari - cari tips dan panduan untuk jawatan kerja Kerajaan ini. Di bawah ini saya sertakan beberapa blog tersebut:

Mereka Yang Telah Menghadiri Temuduga PTT N27

Selepas saya membaca beberapa blog melalui Google dan blog di atas, soalan - soalan yang biasa ditanya semasa temuduga adalah berkaitan dengan isu semasa, latar belakang calon, pengalaman kerja dan sebagainya. Sebagai contoh Senarai Menteri Kabinet Malaysia 2013 dan Senarai Penuh Barisan Exco Malaysia 2013. Nampak sangat mudah namun banyak perkara yang perlu kita teliti untuk menghadiri temuduga ini. Berikut adalah statistik yang diperolehi daripada laman web SPA:

Statistik Jawatan Penolong Pegawai Tadbir N27 2013

  • Bilangan Permohonan : 153, 183 orang
  • Bilangan Panggilan Temuduga : 49, 116 orang
  • Bilangan Kekosongan Jawatan : 67 orang
  • Bilangan Calon Simpanan : 1000 orang
Kepada mereka yang telah dan akan menghadiri temuduga ini saya ucapkan selamat maju jaya, berusaha, tawakal dan berdoa. Kepada mereka yang telah menghadiri temuduga ini, saya berharap anda dapat kongsikan pengalaman anda di sini dan mungkin juga untuk mereka yang masih mencari maklumat terperinci mengenai temuduga PTT ini.

Nota Kaki : Kata seorang kawan yang berbunyi : "Pengalaman kerja adalah segala - galanya untuk temuduga ini".

Nota Dahi : Maaf, karangan di atas adalah karangan yang sangat formal dan boleh didapati di bilik Guru sekolah. Peace!

Rujukan Anda : Laman Web SPA