Pengalaman Temuduga Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 SPA

pengalaman temuduga penolong pegawai tadbir n27

Salam satu Malaysia. Saya sudah selesai menjalani sesi temuduga untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir gred N27 pada hari ini 5 Jun 2013, pada pukul 8 pagi, di Pusat Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur. Bilik temuduga di aras 3 dan nombor bilik temuduga E manakala nombor giliran 502 iaitu calon yang kedua untuk bilik temuduga E.

Ini adalah pengalaman pertama saya mendapat tawaran temuduga daripada SPA. Walaupun tidak ada pengalaman sebelum ini, tapi saya telah mencuba untuk mendapatkan jawatan ini. Ianya tidaklah semudah yang saya sangkakan dan tidaklah sukar untuk hadir ditemuduga seperti yang saya gambarkan.

pengalaman interview jawatan kerajaan

Sesi temuduga yang dijalankan sangat teratur dan setiap calon diberikan nombor mengikut turutan seperti anda berada di bank menunggu nombor giliran dipanggil. Sebagai perkongsian yang ikhlas daripada saya kepada anda yang akan menghadiri temuduga PPT N27 ini, saya akan ceritakan daripada mula sesi temuduga sehingga tamat.

Semoga pengalaman saya ketika temuduga untuk jawatan Penolong Pegawai Tadbir N27 ini akan membantu serta memberikan semangat yang lebih baik lagi untuk menjadi calon yang lebih baik dan terbaik untuk jawatan idaman anda ini, insya Allah.

pengalaman temuduga
Pusat Temuduga SPA Jalan Cenderasari Kuala Lumpur

Pengalaman Temuduga Penolong Pegawai Tadbir Gred N27


Saya bertolak dari rumah pada pukul 6.45 pagi dan sampai di Jalan Cenderasari pada pukul 7.15 pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil sarapan pagi dulu di warung kopi berdekatan sebelum pergi ke pusat temuduga.

Sambil bersarapan saya membaca Harian Metro untuk mengetahui isu semasa terkini seperti yang disarankan oleh kawan - kawan dan blogger - blogger yang memberikan tips dan panduan untuk jawatan PPT N27 ini.

Pada masa yang sama saya membaca nota - nota yang saya buat sendiri mengenai skop jawatan Penolong Pegawai Tadbir N27. Jam menunjukkan 7.35 pagi, saya bergerak ke bangunan SPA yang sangat dekat dengan lokasi tempat letak kereta dan warung kopi.

Saya terus ke aras 2 seperti yang diarahkan oleh seorang lelaki yang berada di depan pintu masuk pusat temuduga. Saya kira beliau adalah pekerja di situ samada pengawal keselamatan atau sebaliknya kerana dia tidak memakai seragam hanya t-shirt merah dan berseluar slack.

Saya diminta meletakkan surat tawaran di dalam kotak yang disediakan di depan pintu masuk kaunter pendaftaran oleh Pegawai yang bertugas. Saya merasakan saya paling awal sampai, rupanya sudah ramai yang berada di situ lebih kurang dalam 40 orang.

contoh soalan penolong pegawai tadbir n27

Tetapi kebanyakkan daripada mereka adalah perempuan manakala lelaki tidak lebih daripada 10 orang. Ini adalah perkara biasa kan? Perempuan selalunya mendominasi dan lebih daripada lelaki dalam banyak perkara, betul?

Nama saya dipanggil untuk menyerahkan dokumen penting seperti resume dan salinan sijil - sijil seperti yang dinyatakan di dalam surat tawaran. Pegawai yang memanggil saya seorang perempuan, raut wajah manis dan sangat serius tanpa memberi senyuman balas kepada saya.

Mungkin tekanan kerja atau 'morning blues' yang membuatkan beliau 'moody'. Saya abaikan perkara tersebut, saya diberikan nombor giliran E502 dan diarahkan pergi ke aras 3 iaitu di ruangan menunggu untuk temuduga di bilik temuduga E.

Semasa menunggu saya berkenalan dan bersalaman dengan calon - calon lain yang berada di situ. Ada yang berumur 40 tahun lebih segak bergaya dan cantik, dan ada yang muda, yang memberi tumpuan kepada nota-nota yang dibawa.

Mereka semua tidak sombong dan memberi senyuman serta sapaan. Bermulanya sesi perkenalan dan sesi bertukar nombor telefon. Inilah hikmahnya disebalik tawaran temuduga ini, walaupun belum tentu samada berjaya atau tidak, saya telah mendapat kenalan baru, baik dari lelaki dan perempuan.

Calon temuduga di situ, masing - masing berkongsi tips dan panduan temuduga semasa menunggu giliran. Ya, mereka tidak kedekut ilmu dan daripada mereka yang berpengalaman iaitu yang berkerja jawatan kerajaan, barulah saya tahu 'apa itu fail meja?'. Terima kasih Kak Fauziah kerana berkongsi tips dan pengalaman.

Pada pukul 8.25 pagi, nombor giliran saya telah terpapar di skrin hitam yang bertulisan merah di depan pintu temuduga. Jantung mula berdebar kencang dan saya masuk serta memberi salam, saya dapati 2 orang lelaki iaitu wakil panel temuduga.

jawatan perkhidmatan awam n27

Seorang yang agak berumur dalam lingkungan 40-an dan seorang lagi sangat muda, saya kira 30-an. Raut wajah mereka sangat serius dan memandang tepat kepada saya. Saya diarahkan duduk dan diminta perkenalkan diri dan senaraikan tugas yang saya lakukan sekarang. Seterusnya soalan temuduga seperti di bawah.

Contoh Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir Gred N27
  • Apa yang anda tahu tentang isu Lahad Datu?
  • Apakah punca sebenarnya berlaku peperangan di Lahad Datu? 
  • Bilakah tarikh berlakunya peperangan di Lahad Datu? Bulan berapa?
  • Apakah inisiatif Kerajaan Malaysia bagi membendung isu Lahad Datu?
  • Apa itu ESSZONE dan ESSCOM?
  • Anda diminta menyediakan minit mesyuarat, apa yang patut anda lakukan?
  • Senaraikan tugas Penolong Pegawai Tadbir secara menyeluruh?
  • Apa itu Sistem Penyampai Kerajaan?
  • Berikan satu transformasi kerajaan dan huraikan transformasi itu
  • Anda ada soalan sebelum saya tamatkan sesi temuduga?

Sebenarnya saya tidak berpuashati dengan jawapan yang saya berikan untuk kesemua soalan - soalan yang ditanyakan. Bermula daripada sesi perkenalkan diri sehingga soalan terakhir. Saya agak gugup dan menjawab dengan jawapan yang kurang tepat. Saya banyak mengeluarkan kata 'kalau tak silap saya' dan 'er er er'. Saya telah praktis di rumah tapi masih juga keluar perkataan - perkataan berikut.

Untuk soalan isu Lahad Datu, saya ada membaca dan memberi jawapan seperti ditanya. Jawapan untuk punca peperangan dan tarikh berlakunya peperangan, saya yakin semuanya betul. Manakala saya gagal untuk menjawab, apa itu ESSCOM dan ESSZONE serta inisiatif kerajaan untuk membendung isu Lahad Datu. Wakil penemuduga yang memberikan jawapan.

Untuk soalan penyediaan minit mesyuarat pula, saya yakin betul, kerana saya ada membacanya. Ini jawapan saya, untuk menyediakan minit mesyuarat, kita perlu tahu kronologi satu - satu mesyuarat sebelum mengadakan mesyuarat. Sebagai contoh, program yang akan diadakan, belanjawan, nama ahli - ahli mesyuarat. Itu saja yang saya ingat.

Untuk soalan senarai tugas Penolong Pegawai Tadbir, saya menjawab sepertimana yang saya hafal dan ingat melalui entri yang saya kongsikan di dalam blog ini iaitu Deskripsi Tugas Penolong Pegawai Tadbir.

Tetapi wakil penemuduga mengatakan, sebenarnya masih lagi banyak yang perlu awak tahu tentang skop tugas PPT N27 ini, antaranya keselamatan organisasi dan yang berkaitan dengan organisasi secara keseluruhan serta banyak lagi.

Saya gagal menjawab soalan apa itu sistem penyampai Kerajaan Malaysia. Sebenarnya soalan ini terlalu mudah dan saya boleh menjawab dengan lebih baik lagi. Jawapan untuk soalan ini, sebagai contoh MYEG yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk semua rakyat Malaysia bagi mengemaskinikan maklumat berkaitan dan untuk mendapat maklumat berkaitan dengan saman dan sebagainya.

Namun, saya menjawab saya kurang pasti kerana saya tidak terfikir untuk jawapan ini dan saya agak gugup disebabkan saya tidak mendapat soalan-soalan sebelumnya. Jadi, anda perlu bersedia dengan segala macam informasi masa kini.

Untuk soalan huraikan transformasi Kerajaan Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, saya membincangkan isu pendidikan yang mana Kerajaan Malaysia memberikan baucer buku untuk pelajar - pelajar sekolah. Penemuduga bertanya, berapa harga baucer tersebut? Saya menjawab RM100.

Anda rasa betul ke jawapan saya? Penemuduga bertanya lagi, baucer tersebut diberikan kepada semua pelajar ke atau untuk pelajar - pelajar tertentu saja? Saya menjawab, untuk semua pelajar Malaysia yang terpilih. Saya rasa jawapan ini kurang tepat. Penemuduga masih lagi tidak memberi senyuman walaupun bertalu - talu saya senyum untuk menenangkan diri.

Dan akhir sekali, saya diberikan peluang untuk bertanyakan soalan sebelum mengakhiri sesi temuduga. Saya menanyakan tentang di Jabatan manakah jawatan Penolong Pegawai Tadbir yang terpilih untuk temuduga kali ditugaskan?

calon temuduga m27 yang layak

Penemuduga menjawab di Jabatan Pertahanan Awam seperti di MINDEF dan lain - lain yang berkaitan dengan Jabatan Pertahanan Awam. Saya merasakan ini adalah soalan saya yang tak betul kerana di dalam surat tawaran telah ada dinyatakan Jabatan Pertahanan Awam.

Soalan ini terkeluar secara spontan. Saya agak kesal kenapa saya bertanyakan soalan itu. Selepas bersalaman saya sempat mengatakan 'kalau ada rezeki kita berjumpa lagi'.

Selesai sudah pengalaman temuduga dan karangan temuduga untuk kali ini. Saya berharap pengalaman saya ini dapat membantu anda merancang dan membuat persediaan yang lebih baik lagi untuk berjaya dalam jawatan ini yang menjadi rebutan seramai lebih kurang 49, 000 orang di seluruh Malaysia yang berjaya mendapat tawaran temuduga.

Walaupun saya tidak berpuashati dengan jawapan dan sesi temuduga hari ini, sekurang - kurangnya saya telah mencuba dan mendapat pengalaman temuduga yang sangat berharga bagi saya di sektor awam.

Andai ada rezeki saya dan saya terpilih, saya akan menjalankan tugas dengan ikhlas. Sekiranya tiada rezeki saya, dan saya gagal untuk jawatan ini, saya akur, kerana ini adalah kententuanNya. Insya Allah.

Selamat maju jaya kepada anda yang akan menghadiri temuduga SPA, semoga dipermudahkan dan buatlah yang terbaik. Berjanjilah dengan diri anda sendiri yang anda boleh melakukan lebih baik lagi daripada orang lain.

Jangan terlalu merendah diri dan keluarkan segala skill yang anda ada. Bagi saya, penemuduga hanya ingin tahu pengetahuan kita dan cara kita berkomunikasi selain menguji adakah kita mengikut perkembangan terkini di Malaysia. Semoga berjaya. Insya Allah.

Rujukan Anda: