Seorang kanak-kanak yang berusia 2 tahun, maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Titi Haji Idris, Alor Setar, hari ini pada jam 7.40 pagi. Kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki bersama isteri dan anak perempuannya dilihat terjunam ke dalam parit sawah padi.
Kemalangan ngeri tersebut berlaku membabitkan dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu oleh seorang wanita yang berlanggar dengan kereta Myvi berkenaan sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan.
Dalam kejadian tersebut, ketiga-tiga mangsa kemalangan telah cedera serta dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Manakala, anak pasangan terbabit iaitu Nur Adreena Mohd Khairil Faizi berusia 2 tahun telah meninggal dunia di hospital akibat mengalami kecederaan parah.
Menurut Harian Metro, ketika pihak Bomba dan Penyelamat Alor Setar tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati kereta Myvi berkenaan masih berada di dalam parit manakala pemandunya mengalami patah peha kanan dan kaki kiri dan penumpangnya seorang wanita cedera.
Pemergian Nur Adreena dalam kemalangan ngeri itu menyebabkan pasangan terbabit kehilangan satu-satunya anak mereka. Menurut datuk mangsa, Abdul Kadir Saaf, 70, dia tak sempat bermain dengan cucunya sebelum tiga beranak berkenaan keluar untuk pergi ke rumah besannya.
"Biasanya, apabila mereka nak keluar dari rumah, saya sempat bermain dengan cucu, walau bagaimanapun, hari ini selepas Subuh, saya tertidur sehinggalah orang kampung datang ke rumah memberitahu anak menantu dan cucu saya terbabit dalam kemalangan," katanya.
Jenazah adik Nur Adreena kini telah selamat dikebumikan di sebuah Tanak Perkuburan Islam Masjid Jamek, Kampung Tengah, Tualang, kira-kira pada jam 4 petang pada hari ini.
Rata-rata netizen di laman Facebook turut sama melahirkan rasa simpati kepada pasangan yang terbabit dalam kemalangan ini supaya terus bersabar dengan ujian dan dugaan yang telah menimpa mereka.