Apakah hukum memakai gincu di bulan puasa atau Ramadhan iaitu ketika siang hari? Persoalan ini pasti menjadi tanda tanya ramai kaum wanita yang masih belum tahu tentang pemakaian lipstik di bulan yang mulia ini.
Pasti ada yang ragu-ragu tentang bergincu ketika bulan puasa dan ada pula berpendapat jika gincu berperisa strawberry atau rasa buah mungkin akan batal puasa serta merta sebab mempunyai rasa buah.
Malahan ada yang mengatakan selepas bergincu secara tiba-tiba tertelan rasa buah yang melekat pada bibir selepas memakai gincu. Adakah hukum pakai gincu berperisa buah batal puasa?
Seorang perempuan lain bertanya lagi, macamana pula jika selepas memakai lipstik dan secara tidak sengaja menjilat bibir selepas diletakkan gincu tersebut? Mungkin puasa terbatal bukan walaupun puasa sunat?
Hukum Pakai Gincu di Bulan Puasa
Untuk menjawab persoalan apakah hukum memakai gincu atau lipstik di bulan puasa bagi semua wanita, kami kongsikan beberapa jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam (JAKIM) dan sumber sahih.
Ini jawapan yang dikongsikan di laman Tazkirah bagaimana ia menjawab persoalan tentang hukum menggunakan lipstik di bulan puasa iaitu Syeikh Muhammad bin Saleh Al-Utsaimin pernah ditanya tentang hukum menggunakan krim bagi orang yang puasa untuk menghilangkan kekeringan di bibir. Maka, beliau menjawab :
"Diperbolehkan bagi seseorang untuk melembabkan bibir atau hidungnya dengan menggunakan krim atau membasahinya dengan air, dengan kain atau semacamnya.
Namun perlu dijaga, jangan sampai ada bahagian yang masuk ke perutnya. Jika ada yang masuk ke perut tanpa sengaja maka puasa tidak batal. Sebagaimana orang yang berkumur, kemudian tiba-tiba ada bahagian yang masuk ke perut tanpa sengaja, puasanya tidak batal." (Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin, 19:224)
Ini pula jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan tentang satu soalan yang berkaitan iaitu adakah batal puasa saya jika saya memakai lipstik (gincu bibir) pada waktu siang di bulan Ramadhan?
Hukum penggunaan lipstick pada siang hari Ramadhan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana ia tidak menelan masuk ke dalam rongga. Sekadar terdapat ‘rasa’ di bibir maka ianya tidak membatalkan puasa.
Para ulama juga berpendapat bahawa semua jenis bahan kecantikan yang digunakan di luar kulit sama ada yang berbau atau tidak serta bertujuan untuk berubat atai kecantikan, ia tidak termasuk dalam kategori yang membatalkan puasa KECUALI jika seseorang itu memakai ubat-ubata tersebut dan menelannya.
Perkara ini juga telah pun diperjelaskan melalu sebuah hadis seperti yang dikongsikan di bawah iaitu daripada Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah.
Begitu juga pendapat jumhur ulama yang mana persoalan ini disamakan dengan tukang masak atau ibu-ibu yang memasak juadah berbuka puasa serta ingin merasakan masakan tersebut dengan lidah dan perkara itu tidak batal puasa selagi ia tidak menelan masakan tersebut.
Walau bagaimanapun, melalui kitab mazhab Al-Syafie, perbuatan tersebut hukumnya makruh tetapi tidak membatalkan puasa kerana perkara dirisaukan sekiranya tertelan sehingga membatalkan puasa dan ia juga telah disebutkan melalui Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah RA ;
"Merasa makanan adalah makruh sekiranya tiada hajat tetapi ia tidak membatalkan puasa. Sekiranya terdapat hajat (untuk merasanya) makai a seperti al-madhmadhoh (berkumur)." (Majmu’ al-fatawa, 25/266)
Jadi, jika anda mencalit gincu atau lipstik di bibir sebagai pelembab atau untuk mengelakkan bibir kering atau pucat, haruslah berhati-hati dan jangan terlalu kerap menjilat bimbang kerana dikhuatiri akan tertelan rasa tersebut.
Jadi kesimpulannya, tak batal puasa jika kaum perempuan memakai gincu atau pelembab bibir untuk mengelakkan bibir kering atau merekah. Walau bagaimanapun, harus diingatkan niat memakai gincu dan jangan terlalu berlebih-lebihan di bulan puasa. - Bukit Besi Blog