Masakan nasi minyak Terengganu dengan ayam masak merah mudah adalah resepi rahsia dikongsikan oleh seorang anak jati negeri ini yang mana nasinya sangat sedap, lembut dan terangkat. Cara masak juga simple dan pasti ramai yang boleh buat.
Katanya hidangan terbaik ini juga sekali rasa macam lauk yang dimakan ketika kenduri kahwin siap ada gulai daging pasti nak tambah nasi dan puas hati bila masak sendiri.
Resepi nasi minyak style Terengganu dan ayam masak merah hasil perkongsian dari Puan Mimie Hazrin di laman Facebook Group MAHN yang telah mendapat perhatian ramai netizen yang menyatakan resipi tersebut sangat menarik dan gambar-gambar juga nampak best dan menyelerakan.
Rahsia Resepi Nasi Minyak Terengganu Ayam Masak Merah
Anda boleh cuba untuk masak nasi minyak Terengganu dan ayam masak merah ini. Pastikan anda ikut langkah demi langkah sehingga akhir proses memasak supaya masakan anda itu menjadi dan sedap. Jom kita tengok cara-cara membuatnya.
Resepi Ayam Masak Merah
Bahan-bahan seperti di bawah mengikut kuantiti yang anda tentukan sendiri memandangkan masing-masing boleh agak sendiri berapa banyak ayam untuk dibuat dan untuk dimakan berapa orang. Untuk lebih tepat lagi, kami kongsikan juga versi kedua resepi nasi hujan panas yang lengkap.
Anda perlu tumis bawang yang dikisar dan masukkan buah pelaga, kulit kayu manis, bunga lawang, halia, serai dan daun pandan.
Selepas bawang semakin garing, masukkan cili kisar dan apabila sambal telah masak, masukkan ayam yang telah siap digoreng. Akhir sekali masukkan susu cari berserta kacang pis dan tomato jika perlu.
Bahan-bahan Resepi Nasi Minyak
- Bawang Putih (hiris nipis)
- Halia (hiris nipis)
- Bunga Lawang
- Buah Pelaga
- Kulit Kayu Manis
- Daun Pandan
- Minyak Sapi
- Garam
- Susu Cair
- Sunquick - 1 sudu
Tumiskan kesemua bahan-bahan tersebut dan masukkan bahan tumisan ke dalam beras yang telah siap dibasuh dan seterusnya tos kan. Sukatan air pula hanya perlu agak-agak saja supaya nasi tidak lembik atau keras.
Resepi nasi minyak ini akan lebih lengkap dan sedap sekiranya ada gulai daging bersama acar timun. Gulai daging pula dimasak menggunakan rempah khas dari Teganu kita.
Rempah yang digunakan juga sama untuk membuat nasi dagang iaitu rempah gulai dan rempah Masak Cap Bunga Rose yang mudah didapati di mana-mana kedai runcit atau pasar raya di Malaysia.
Akhirnya siap sudah resepi nasi minyak ala ganu bersama ayam masak merah hasil perkongsian daripada Puan Mimie Hazrin yang kini menjadi perhatian ramai selepas resepi ini dikongsikan di Facebook.
Nasi Minyak Terengganu Gulai Daging Bawang Goreng
Resepi nasi minyak ini perkongsian dari Puan Noorizan Mohd Noor yang katanya resepi ini adalah cara beliau sendiri. Anda boleh ikuti step by step yang lengkap dikongsikan.
Bahan-bahan
- 3 pot beras Basmathi (Cap Monghul)
- 5 pot air campur 1 pot susu cair bersama sesudu makan limau
- Atau satu sudu makan cuka dicampurkan ke dalamnya
Bahan Tumis
- 5 biji bawang merah dihiris
- 3 ulas bawang putih
- Sehelai daun bay
- 1 sudu teh jintan manis, jintan putih
- 1 sudu teh ketumbar yang dikisar halus
- 2 atau 3 sudu besar minyak sapi
- 2 sudu besar minyak zaitun
- Rempah 4 sekawan
Cara-cara membuat
Tumis bahan sehingga naik bau. Masukkan beras Basmathi yang telah siap ditos. Goreng sekejap dan tak perlu lama. Masukkan air yang telah siap disukat dan juga daun pandan yang telah disimpulkan.
Apabila telah masak, taburkan kismis, bawang goreng dan renjiskan pewarna kuning. Jika anda sukakan warna-warna lain pun boleh dan tak salah rasanya.
Resepi Gulai Daging Bawang Goreng
Bahan-bahan
- 1 kg daging, dipotong kecil, dibasuh dan tos
- 3 sudu besar atau lebih rempah kari daging (saya guna cap Jam)
- Bahan-bahan dikisar halus
- 6 biji bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 1 inci kunyit hidup atau 1 sudu makan kunyit serbuk
- Dua genggam bawang goreng diramas (sebaiknya digoreng sendiri)
Kesemua bahan-bahan di atas perlu digaul bersama daging dan perap selama satu jam. Saya lebih suka lebihkan semua bahan-bahan tersebut.
Bahan Tumis
- 6 biji atau 7 biji bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- 1 inci halia dimayang
- Rempah 4 sekawan
- 1 senduk atau lebih cili kering kisar
- 12 sudu besar minyak sapi dan minyak masak untuk menumis
- Bahan-bahan Lain
- 2 sudu besar sos tomato
- 1/2 tun susu cair
- Secawan air
- 1 sudu besar kicap lemak manis untuk cantikkan warna
- Daun pandan yang perlu disimpul
- Asam jawa
- Nise
- Serbuk perasa
- Garam
Cara-cara membuat
Tumiskan bawang dan kawan-kawannya sehingga kekuningan dan naik bau. Masukkan cili kering yang dikisar, tumis sehingga pecah minyak.
Masukkan daging dan biarkan daging empuk. Seterusnya perlahankan api.
Masukkan sos tomato, asam jawa, nise, gaul sebati dan masukkan susu cair, air, kicap, perasakan dengan garam berserta dengan serbuk perasa mengikut selera masing-masing.
Berikutnya dikongsikan juga beberapa gambar nasi minyak Terengganu dan gulai daging daripada Facebook Kasih Syamel untuk rujukan anda. Mungkin dengan melihat gambar, anda boleh mengolahkan masakan nasi minyak ini mengikut kreativiti anda sendiri.
Semoga perkongsian resepi nasi minyak Terengganu, ayam masak merah dan gulai daging bawang goreng akan dapat membantu serta memudahkan anda untuk mencuba masak masakan ini yang semestinya amat disukai ramai orang. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog