Cara tanam bendi sama ada hidroponik atau fertigasi memerlukan penjagaan yang rapi dari segi baja dan air agar tumbuhan tanaman kacang bendi ini hidup subur serta menghasilkan keuntungan dan pulangan yang berbaloi-baloi.
Kacang bendi atau dipanggil juga Abelmoschus Esculentus dalam bahasa saintifik adalah sayuran buah yang lendir, tumbuhan yang berbatang menegak serta lembut serta berwarna hijau yang mempunyai begitu banyak cabang.
Sayuran bendi yang dipercayai berasal dari Afrika Utara ini amat mudah ditanam serta dikatakan kurang diserang oleh makhluk perosak atau penyakit. Namun, musuh utama sayuran ini adalah serangga dan ulat pengorek yang merosakkan pada buahnya.
Buah bendi dan bahagian-bahagian lain boleh digunakan bermacam cara seperti buahnya dimasak dalam kari, ulam, salad atau digoreng kering atau basah. Malahan, ia juga diproses serta ditinkan dan dijeruk bersama garam.
Manakala, lendir dari buahnya juga turut digunakan untuk memekatkan sos tomato serta bermacam lagi yang boleh dipelbagaikan. Di India, batangnya yang tua dijadikan kertas dan biji bendi pula dijadikan minuman seperti kopi.
Cara Menanam Pokok Bendi
Cara untuk menanam bendi sama ada di dalam pasu, secara hidroponik, dalam polybag atau fertigasi, kaedahnya lebih kurang sama. Walau bagaimanapun, jika anda tanam dari biji benih di tanah yang subur, itu lebih baik.
Biji benih bendi boleh bercambah dalam jangka masa 4 sehingga 7 hari. Percambahan lebih mudah berlaku sekiranya ia ditanam pada tanah, dalam polybag atau pasu yang terdedah dengan sinaran matahari yang penuh.
Manakala dalam masa 2 minggu , anak benih bendi akan mempunyai 3 sehingga 4 helai daun. Setelah pokok bendi tinggi mencapai 4 atau 5 inci, anda perlu membuat proses pembajaan agar ia lebih subur. Ketinggian pokok bendi pula boleh mencecah sehingga 1 atau 2 meter.
Pembajaan
Cara membaja pokok bendi adalah dengan gemburkan tanah di sekitar pokok atau sekeliling dengan cara perlahan-lahan supaya tindakan menggembur tanah tidak terkena atau menjejaskan akar pokok tersebut.
Untuk baja pada permulaan, anda boleh guna baja serbaguna supaya dapat mengekalkan kesuburan tanah selain dengan cara ini juga dapat membekalkan nutrien yang amat baik untuk pertumbuhan pokok bendi.
Seterusnya, taburkan baja tersebut di sekeliling pokok serta ditimbuskan semua baja berkenaan dengan tanah gembur. Kemudian, siramkan sedikit dengan cara renjis atau semburan renjisan.
Penyiraman
Kacang bendi adalah tumbuhan yang amat mudah ditanam dan ia boleh disemai atau ditanam pada bila-bila saja tanpa mengikut musim. Penyemaian bendi adalah di tanah atau di dalam pasu yang tidak menyebabkan air bertakung.
Sekiranya ia diberikan air yang berlebihan pada tanah di mana bendi ditanam, pokok tersebut akan menjadi layu seterusnya mati tanpa memberikan isyarat atau tanda-tanda.
Walau bagaimanapun, aktiviti penyiraman adalah digalakkan dengan siram pokok ini hanya sekali sehari pada waktu petang. Penyiraman amat penting terutama ketika pokok di peringkat sedang mengeluarkan bunga dan juga membentukkan buah.
Pokok kacang bendi sebenarnya amat menyukai tanah yang mempunyai banyak nutrien, vitamin serta pengairan yang baik dan tidak terlalu banyak. Anda perlu memantau keadaan tanah pada setiap masa supaya tiada air yang bertakung atau tanah tidak keras.
Tips Penanaman Pokok Bendi
Cara tanam bendi adalah dengan menanam biji benih kacang bendi ini sebanyak satu biji atau dua biji di dalam setiap lubang dengan jarak antara satu sama lain sepanjang 4 kaki mengikut saiz di mana ia ditanam.
Tumbuhan ini juga boleh ditanam di kebanyakan jenis tanah dengan mudah. Antara tanah tersebut adalah tanah gembur berpasir, tanah gambut, tanah liat dan juga tanah lembah sungai yang alirannya sangat baik.
Selain itu, pokok bendi amat sesuai ditanam di dalam pasu yang mempunyai tanah yang kaya dengan nutrien serta pasu tersebut tidak menakung air.
Untuk menanam bendi juga, lebih digalakkan guna media campuran iaitu tanah biasa dicampurkan dengan Peat Grow dan baja kerana ia akan tumbuh dengan subur serta menghasilkan kacang yang banyak jika diberikan perhatian yang penuh.
Untuk penyediaan tanah, anda digalakkan gemburkan tanah atau bajak terlebih dahulu serta membuat pengapuran sekiranya perlu dalam masa 2 minggu sebelum bendi di tanam. Kemudian, sediakan batas serta gaulkan tahi ayam reput bersama tanah baja organik.
Untuk mengekalkan kelembapan tanah supaya lebih subur, anda boleh membuat sungkupan daripada daun-daun kering, jerami padi serta plastik berwarna hitam untuk mengawal rumput rampai atau rumpai.
Kacang bendi akan boleh dituai setelah tempoh satu bulan setengah dengan cara memotong tangkai menggunakan pisau yang tajam agar ia tidak menjejaskan pertumbuhan pokok dan jangka hayat tumbuhan ini agak lama.
Pemangkasan
Selepas semua hasil dari pokok dipetik, ia perlu dipangkas sekurang-kurangnya setinggi 40cm sehingga 60 cm daripada paras tanah dengan tujuan untuk dapatkan hasil pada kali kedua.
Namun, selepas memangkas pokok, ia harus dibiarkan sekiranya ada beberapa tunas yang sedang membesar. Walau bagaimanapun, selepas membuat pemangkasan, ia harus dibajakan seperti sebelumnya.
Kawalan Musuh & Penyakit Pokok Bendi
Jika tanaman bendi anda telah diserang oleh ulat pengorek, serangga dan juga perosak dengan teruk sehingga menganggu pertumbuhan pokok dan buah bendi ini, anda boleh menggunakan racun serangga disyorkan iaitu Diazinon.
Penyakit yang paling utama untuk tanaman bendi apabila adanya bintik-bintik pada daun tua serta kelihatan berjelaga dan tompok-tompok hitam yang merosakkan pokok.
Untuk mengawal penyakit ini, anda boleh menggunakan racun kulat Benomyl dengan cara semburan pada pokok. Walau bagaimanapun, cara untuk menggunakan racun haruslah mengikut arahan pada label dinyatakan pada botol tersebut.
Cara Tanam Bendi Dari Biji Benih
Kesimpulan
Sebenarnya, cara nak tanam pokok bendi taklah susah sangat tapi kerajinan perlu ada selain daripada usaha. Jika anda seorang minat berkebun atau bercucuk tanam pasti penanaman bendi bukanlah satu masalah besar.
Semoga perkongsian cara menanam tanaman kacang bendi berserta dengan tips penjagaan termasuk dari segi baja, penyiraman dan cara kawal penyakit pokok ini akan dapat membantu anda. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog