Agama Islam memang amat menitikberatkan cara mendidik anak lelaki dan perempuan berserta peranan ibu bapa dalam mendidik anak seperti mana hadis Rasullah yang menyatakan, anak itu umpama seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan sama ada menjadi Nasrani, Yahudi atau Majusi.
Daripada hadis tersebut telah jelas dan terang menyatakan tanggungjawab sebagai ibu bapa sangat besar untuk mendidik anak-anak serta perlu memegang amanah yang pertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengajar semua anak-anak untuk mengenali Islam dan tanggungjawab sebagai manusia di dunia dan akhirat.
Walau bagaimanapun, cara mendidik anak lelaki dan perempuan mempunyai perbezaan yang ketara yang harus ibu bapa ketahui. Tetapi, kasih sayang terhadap anak haruslah sama dan tidak memilih kasih agar mereka tahu ibu dan bapa sayang kepada semua anak-anaknya.
Cara Mendidik Anak Lelaki dan Perempuan
Peranan ibu bapa terhadap mendidik anak lelaki dan perempuan harus diberikan perhatian yang lebih agar ibu dan bapa tidak tersalah mendidik. Bimbingan Islamik secara berterusan kepada anak lelaki dan perempuan adalah amat dituntut dalam Islam.
Apa yang paling penting, peranan ibu bapa terhadap anak adalah wajib meluangkan lebih banyak masa dengan anak lelaki atau perempuan supaya mereka tidak merasa kesunyian serta tidak diabaikan oleh ibu bapa sendiri yang selama ini mereka harapkan perhatian.
Terkadang ada ibu bapa yang amat mementingkan tugas atau kerja sehinggakan tanggungjawab anak-anak diabaikan serta diserahkan kepada pembantu rumah. Kebanyakan remaja hari ini yang terlibat dengan gejala sosial adalah kerana kurangnya perhatian daripada ibu bapa.
Begitu juga anak-anak kecil yang kurang mendapat perhatian ayah dan ibu, mereka seolah tidak lagi mengharapkan perhatian ibu bapa selepas setiap hari tugas menjaga anak diserahkan kepada pembantu rumah sehinggakan waktu bertemu dengan anak hanya pada waktu malam sahaja.
Oleh itu, ibu bapa mempunyai peranan yang amat penting untuk membesarkan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa perlu menguruskan dan membahagikan masa dengan betul antara kerja dan masa yang perlu diluangkan untuk anak-anak agar semua anak tidak terasa terpinggir dan diabaikan.
Baca : Doa Anak Lulus Periksa
Didikan Utama Untuk Anak Lelaki
- Latihkan sifat kepimpinan dalam diri anak lelaki
- Dekatkan mereka dengan masjid
- Lebihkan gerak kerja yang lasak (outdoor dan berpanas)
- Latihkan mereka menjadi imam solat berjemaah
- Ajarkan ilmu yang patut diketahui oleh seorang lelaki seperti membaiki paip yang rosak, memotong rumput, berkebun, bertukang kayu, membaiki alatan elektrik, membaiki jentera bermotor dan sebagainya.
- Elakkan membeli permainan untuk anak perempuan seperti anak patung, pinggan mangkuk. pakaian dan sebagainya.
- Galakkan mereka dengan menyertai kerja-kerja sukarelawan seperti gotong-royong dan lain-lain
- Buat passport antarabangsa untuk mereka dan carilah peluang menghantar mereka ke luar negara sama ada untuk belajar atau mencari pengalaman.
Didikan Utama Untuk Anak Perempuan
- Didik mereka menutup aurat semenjak kecil dan jangan memakai pakaian lelaki.
- Galakkan mereka membuat kerja-kerja rumah seperti memasak dan sebagainya berbanding dengan anak-anak lelaki.
- Elakkan dari membeli alat permainan kanak-kanak lelaki seperti lori, kereta mainan, robot, peralatan pertukangan, pistol, senapang dan sebagainya.
- Latih mereka sejak kecil agar bersopan santun dan lembah lembut.
- Terangkan kepada mereka tentang haid, nifas, kehamilan dan melahirkan anak apabila mereka akil baligh.
- Ajarkan mereka dengan kemahiran yang patut diketahui oleh seorang wanita seperti berhias, menghias, memasak dan mengemas rumah, menjaga anak kecil, menjahit, asas rawatan kecemasan dan lain-lain yang melibatkan tugas seorang perempuan.
Didik Anak Cara Nabi - Sunnah Rasulullah
Berikut dikongsikan empat cara mendidik anak atau empat tahap mendidik anak dengan mengikut sunnah Rasulullah sepertimana yang digalakkan dalam Islam. Semoga perkongsian tips ini akan bermanfaat buat semua ibu bapa.
Tahap 1 (Umur 0 hingga 6 Tahun - Mumayyiz)
Pada masa ini, anak hendaklah disayangi dengan sepenuh hati oleh ibubapa, dibelai dengan kasih sayang, diajak bermain dan bergurau. Natijahnya agar anak sentiasa sedar rujukan terbaik bagi mereka dalam semua hal yang mereka hadapi.
Tahap 2 (Umur 7 hingga 14 Tahun)
Ketika ini, ibubapa hendaklah mendidik mareka dengan kasih sayang tapi tegas dengan arahan, displin dan beri mereka tanggungjawab. Didiklah mereka tentang solat, puasa dan ibadah lain.
Tahap 3 (Umur 15 hingga 21 Tahun)
Cara mendidik anak lelaki dan perempuan di tahap ini adalah dengan cara berkawan. Bertukar pendapat dan hormati mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Tahap 4 (Umur 21 tahun ke atas)
Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal. Anak adalah amanah dan tanggungjawab kita bukannya hak milik.
Sebenarnya, ibu bapalah yang mempunyai peranan yang paling penting untuk mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang berguna serta berjaya dunia akhirat. Kepada ibu bapa, belajarlah dan fahamilah cara mendidik anak lelaki dan perempuan dengan betul, insya Allah anda akan berjaya. - Bukit Besi Blog