10 Kesilapan Dalam Solat Yang Kita Lakukan Tanpa Sedar

kesilapan dalam solat tanpa sedar

Solat lima waktu setiap hari wajib dilakukan oleh semua umat Islam. Sekiranya seseorang itu menjaga solatnya ia seperti menegakkan agamanya. Walau bagaimanapun, jika solat sentiasa penuh tetapi tidak menyedari kesilapan dalam solat, itu adalah sangat merugikan.

Solat juga diumpamakan sebagai penghubung manusia dengan Allah supaya lebih dekat lagi selain turut mendidik serta membimbing semua manusia ke arah yang lebih baik. Namun, jika kita sering melakukan kesalahan dalam solat dan tidak memperbaiki kesilapan itu, solat kita hanya sia-sia.

Sebagai orang Islam yang wajib mendirikan solat setiap hari, kita harus mengetahui adab-adab bersolat supaya tidak melakukan sebarang kesilapan dengan tujuan segala ibadat kita itu diterima Allah SWT.

Terkadang, kita tidak menyedari kita telah melakukan kesilapan ketika solat walaupun kesalahan asas yang kita anggapkan sebagai remeh temeh. Jadi, mulai sekarang mari kita perbaiki sembahyang kita supaya lebih baik dan teratur.

10 Kesilapan Dalam Solat Tanpa Kita Sedari


kesilapan yang sering dibuat ketika solat

Perkongsian seorang pengguna Twitter berkaitan dengan kesalahan ketika solat yang basic saja dan sering kita buat tanpa kita sedari. Ya benar, kita tidak sedar atau kadang-kadang terlepas pandang. Ikuti perkongsian beliau di bawah.

1. Tidak Berdiri Dengan Lurus

Ia adalah basic tetapi kita tak sedar. Bab berdiri perlu berdiri lurus bagi mereka yang berkemampuan adalah merupakan rukun solat.

Mereka yang sakit pula sepatutnya sebelum terus duduk untuk bersolat, perlu berdiri lurus terlebih dahulu di atas sejadah kemudia barulah duduk. Tak perasan kan?

2. Takbiratul Ihram

Lafaz Takbiratul Ihram adalah Rukun Qauli, ia wajib dilafazkan secara 100% di mulut tanpa meninggalkan satu huruf pun dalam kalimah Allahuakbar.

Takbiratul Ihram dengan suara angin seperti suara orang yang sedang berbisik juga boleh menjadikan solat anda terbatal. Perkara ini harus kita pelajari lagi.

3. Bacaan Al Fatihah Tidak Betul

Mungkin kita sering lakukan kesalahan ni. Ustaz Azhar Idrus ada mengulas tentang isu ini. Al Fatihah merupakan Rukun Quali yang diwajibkan dilafaz secara 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul dan tepat.

Bacaan Al-Fatihah di dalam hati atau menggunakan suara angin akan membatalkan solat anda walaupun telah lengkap dengan wuduk atau air sembahyang.

4. Tidak Thomakninah (Berhenti Seketika) Dalam Rukuk & Sujud

Kadar yang minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan lafaz "Subhanallah."

Apabila nak rukuk, sujud, jeda perbuatan itu kena jaga, dalam kadar lafaz Subhanallah. Bukan terus sujud dan terus letakkan dahi di atas sejadah.

5. Sujud Yang Tak Sempurna, Anggota Sujud Tak Dibenarkan ke Atas Lantai

Anda tahu apa itu anggota sujud? 7 anggota sujud iaitu muka (termasuk dahi dan hidung), kedua tapak tangan, kedua lutut dan kedua penghujung dua tapak kaki iaitu ibu jari.

Ia haruslah tepat di atas sejadah bukanlah sujud sekadar menggunakan dahi anda.

6. Tangan Berhayun-hayun Ketika Iktidal

Anda mesti tahu kan? Pergerakan anggota besar tiga kali berturut-turut boleh juga membatalkan solat.

Ketika ingin iktidal, angkatlah tangan itu dengan penuh bersopan. Jangan angkat tangan berkepak seperti ingin terbang terus naik ke langit. Itu tidak boleh, salah.

7. Dada Berpaling Dari Kiblat

Ketika nak solat, berdiri di atas sejadah, kita pasti tahu arah kiblat di mana, itu memang wajib. Tapi sedar tak, terkadang kita tak menghalakan dada kita tepat kepada kiblat?

Jika kiblat menyerong, dada pun perlu ikut menyerong. Kalau tegak, maka tegaklah dada kita.

8. Mengenakan Pakaian yang Nipis

Perempuan diwajibkan peka tentang pakaian. Jangan hanya tutup semua di atas dengan telekung tetapi kain pula singkat atau jarang sehingga menampakkan kaki.

Kadangkala pakai baju sangat nipis dan ternampak jelas warna kulit pun tak boleh. Terkadang ramai yang terlepas pandang tentang ini. Jangan ambil mudah.

9. Memejamkan Mata Ketika Solat

Memejamkan mata ketika bersolat tanpa sebarang sebab dan keperluan ada makruh.

Tetapi jika kita pejam mata atas sebab tertentu seperti jika ada sebarang gangguan di sekitar kita seperti gambar dan menutup mata boleh membantu kita menambahkan kekhusyukan maka ianya diharuskan atau dibolehkan.

10. Salam

Salam, tak perlu ditundukkan muka kita sebelum meberi salam. Menoleh sejauh mungkin sehingga 180 darjah ke belakang kerana malaikat ramai di sekeliling kita. Begitu juga ketika kita menoleh ke bahagian kiri.

Baca : Doa Murah Rezeki Yang Melimpah Ruah

Sebenarnya kesilapan dalam solat terlalu banyak kalau nak dikirakan, perkara di atas yang dikongsikan adalah kesalahan basic sahaja. Sebaiknya dirujuk kepada ustaz atau mereka yang lebih arif supaya solat kita lebih baik. Semoga bermanfaat.