Amalan Anak Yang Soleh Untuk Ibu Bapa Yang Meninggal Dunia



Kita sebagai seorang anak soleh yang mengasihi, menyayangi dan mencintai ibu bapa, haruslah kita segera membalas segala jasa-jasa kedua-duanya yang telah menjaga dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang sejak kecil sehingga dewasa.

Lebih-lebih lagi selepas salah seorang daripada ibu bapa itu telah meninggal dunia. Sebaiknya kita membuat beberapa amalan-amalan baik yang digalakkan dalam Islam yang pasti akan meringankan beban ibu bapa ketika bersemadi di alam barzakh.

Mereka pasti akan gembira kerana mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah yang sentiasa menyalurkan rezeki berupa pahala yang mengalir terus ke alam barzakh tanpa henti-henti kerana doa daripada seorang anak.

Balasan atau imbuhan yang kita terima adalah keredhaan Allah SWT dan kebaikannya anak-anak kita pula nanti akan membuat atau melaksanakan amalan yang sama apabila sampai giliran kita dijemput oleh Allah SWT pada satu hari nanti.

Amalan-amalan Anak Untuk Ibu Bapa Yang Meninggal Dunia


1. Memohon Keampunan Untuk Ibu Bapa

Doakan kepada mereka supaya semua dosa-dosa mereka diampunkan Allah. Sebaiknya dilakukan ketika selepas solat fardhu dan berdoalah kepada Allah SWT untuk ibu bapa supaya Allah ampunkan semua dosa-dosa mereka.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

"Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali dari 3 perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya." - Hadis Riwayat Muslim

"Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang soleh di syurga, lalu dia bertanya: "Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?"

Dijawab: "Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu."

(Hadis Sanad Hasan Riwayat Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 10610 (jld. 2, ms. 509) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth)

Antara doa keampunan kepada ibu bapa yang boleh seorang anak amalkan adalah daripada ayat suci Al-Quran sepertimana yang dinyatakan:

doa untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia

"Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!" (Surah Nuh (71) ayat 28)

Memandangkan hadis yang pertama ada menyebut doa seorang anak yang soleh secara umum, maka digalakkan juga mendoakan rahmat kepada ibu bapa seperti yang berikut:

amalan anak untuk arwah ibu bapa

"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra’ (17) ayat 24)

Itulah antara dua doa yang diajarkan dalam Al-Quran dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibubapa setelah mereka meninggal dunia iaitu keampunan dan rahmat daripada Allah SWT.

Doa-doa ini kita boleh membacanya walau di mana-mana dan pada bila-bila masa sekalipun dan ia tidak terhad hanya ketika menziarahi kubur ibu bapa sahaja. Malahan ia lebih baik dibaca ketika selepas setiap kali solat lima waktu.

2. Membayar Hutang Ibu Bapa

Hutang seperti ini akan menawan ibu bapa yang telah meninggal dunia sehinggalah kesemua hutang-hutang tersebut dilunaskan atau dilangsaikan.

RAsulullah SAW pernah bersabda kepada Saad Ibn Al-Atswal RA yang baru kematian saudaranya:
"Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya."

(Hadis Sahih Riwayat Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 .Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).

3. Tunaikan Wasiat Ibadah Yang Mereka Tinggalkan

Sekiranya ibu atau bapa mempunyai hajat atau niat untuk menunaikan sesuatu ibadah tetapi mereka tidak sempat untuk melakukannya kerana meninggal dunia, maka kita sebagai anak boleh melaksanakan ibadah tersebut.

'Abd Allah ibn 'Abbas RA menerangkan: Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi SAW dan berkata:

"Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?"

Rasulullah SAW menjawab: "Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi."

(Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – Hadis No: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).

4. Menunaikan Janji atau Rancangan Ibu Bapa

Jika ibu atau bapa mempunyai perancangan tertentu atau mereka tidak sempat untuk melaksanakannya, kita sebagai anak haruslah menunaikan perancangan tersebut. Ganjaran kebaikan akan terus mengalir kepada ibu bapa dan juga diri kita sendiri.

Jabir Bin ‘Abd Allah RA menerangkan: Nabi SAW pernah berkata: "Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian."

Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar RA memerintahkan seseorang menyeru: "Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam datanglah kepada kami."

Maka aku datang dan berkata: "Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjanji kepada aku sekian-sekian."

Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: "Ambillah lagi seumpamanya."

(Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya – Hadis No: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati).

Dalam hadis di atas, janji Rasulullah SAW kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar RA sebagai pemerintah pada ketika itu. Dalam kes ibu bapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya iaitu kita.

5. Meneruskan Apa Yang Baik dan Hentikan Apa Yang Buruk

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun.

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun."

(Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – Hadis No: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar)

6. Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Ibu Bapa

Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Hadisnya adalah seperti berikut: Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya. Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:

"Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit."

Maka Ibn ‘Umar menjawab: "Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya."

(Hadis Sahih Riwayat Muslim dalam Shahihnya – Hadis No: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita sentiasa berbuat baik kepada kedua ibubapa yang telah meninggal dunia dengan menjalinkan silaturrahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibu bapa ketika mereka masih hidup.

contoh doa untuk arwah ibu bapa

Selain daripada perkara-perkara di atas, seorang anak yang soleh dan solehah akan melakukan beberapa kebaikan untuk membantu ibu bapa mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar serta usaha-usaha untuk membantu mereka mendapat kebaikan serta tambahan pahala yang berterusan tanpa henti.

1. Perbanyakkan bersedekah terutama sedekah jariah seperti pembinaan sekolah agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang Islam dan niatkan untuk mereka iaitu ibu bapa kita.

2. Sedekahkan Al-Quran, kitab, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau Maahad Tahfiz atau di mana-mana masjid serta niatkan untuk kedua-dua ibu bapa kita yang telah meninggal dunia itu.

3. Selalulah sedekahkan Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas, Surah Yassin, Surah Al-Baqarah dan ayat-ayat suci Al-Quran yang lain untuk mereka.

Sebaik-baiknya yang membaca semua ayat Al-Quran tersebut adalah diri kita sendiri sebagai seorang anak. Sedekahkan bacaan Al-Quran mengikut majoriti ulama ahli sunnah waljamaah sampai kepada si mati:

Abu al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian kepala dan kaki si mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya supaya berbuat demikian.

Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid :

"Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah:

"Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian."

(Al-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)

4. Beramal dengan amalan Islam. Semua anak-anak yang masih hidup apabila mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan membuat maksiat dan dosa, anak perempuan tidak tutup aurat, bergaduh sesama adik-beradik kerana harta pusaka, semua tindakan ini akan menyusahkan dan membebankan arwah ibu bapa di alam barzakh.

Ibu bapa pasti akan menyesal kerana tidak mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup Islam sehinggakan mereka telah melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah tak berguna lagi kerana perkara tersebut telah berlaku.

Baca : 10 Kesilapan Dalam Solat Tanpa Sedar

Tetapi untuk anak-anak pula, bagaimana mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia itu tadi?

Mereka perlu beramal soleh, beramal ibadah dan berbuat kebaikan kerana semua pahala yang anda buat akan memberi saham yang besar kepada ibu bapa yang sedang menderita di alam barzakh.

Oleh itu, marilah kita berbuat kebaikan dan mengamalkan apa yang telah diajarkan oleh ibu bapa kita kerana mereka akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat yang telah kita lakukan itu nanti.

Marilah sama-sama kita berusaha memberi saham yang teramat baik untuk kedua-dua orang tua kita yang telah meninggal dunia.

Amalkanlah amalan-amalan di atas yang pernah dilaksanakan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW dan ulama tabiin untuk terus berbakti kepada mereka yang tersayang yang telah pergi meninggalkan kita.

Sebenar-benarnya amal soleh dan kebaikan yang kita berikan kepada mereka, kita juga pasti akan mendapat ganjaran dan pahala yang sama dan tidak dikurangkan walau sedikit pun oleh Allah SWT seperti yang diterangkan di Facebook. - Bukit Besi Blog