Jika anda ingin wajah berseri dan bercahaya atau cantik seperti bidadari serta ingin menaikkan seri wajah agar muka sentiasa manis dipandang orang, anda boleh amalkan berbagai amalan dan ayat daripada Al-Quran. Salah satunya adalah doa penyeri wajah Nabi Yusuf yang terbukti amat berkesan.
Sesiapa pun anda sama ada lelaki atau perempuan, anda boleh membaca doa seri wajah Nabi Yusuf ini disamping tidak meninggalkan solat lima waktu serta turut sama mengamalkan ibadah-ibadah lain seperti sedekah amal jariah dan sebagainya.
Doa Seri Wajah Nabi Yusuf
Doa kecantikan untuk menaikkan seri wajah agar wajah sentiasa berseri-seri dan pemanis muka daripada surah Nabi Yusuf ini perlu dibaca setiap kali selepas selesai menunaikan solat fardhu pada setiap hari.
Selain doa seri wajah Nabi Yusuf, anda perlu juga membaca ayat pengasih daripada surah Taha ayat 39 sebagai pelengkap untuk menyerikan wajah serta untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri dan juga hubungan dengan anak-anak yang akan menghormati ibu bapa mereka.
Dikatakan juga doa seri wajah ini juga sekiranya diamalkan setiap hari dan anda tidak meninggalkan solat, hubungan adik beradik, anak, suami isteri, keluarga, jiran tetangga, saudara mara dan juga sahabat handai akan menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Doa Nabi Yusuf Pemanis Wajah
Bacaan Dalam Rumi:
Idz Qaala Yuusufu Li Abiihi Yaa Abati Inni Ra Aitu Ahada’ Asyara Kaukabauw Wasy Syamsa Wai Qamara Ra aituhum Lii Sajidin.
Maksud Rumi Surah Yusuf Ayat 4:
"(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku."
Doa Pengasih Penyeri Muka
Bacaan Dalam Rumi:
Untuk surah Taha ayat 39 ini anda hanya perlu baca keratan ayat daripada surah ini seperti di bawah, walau bagaimanapun tidak salah membaca keseluruhannya.
Wa-alqaytu'‘Alayka Mahabbatan Minnii Walitushna' 'Alaa 'Ainii.
Maksud Rumi Surah Taha Ayat 39:
"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya;
dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu."
Cara Mengamalkan Doa Seri Wajah
Untuk mengamalkan kedua-dua doa seri wajah ini, anda perlu membaca sebanyak tiga kali dan kemudiannya disapukan di muka. Amalan ini juga amat sesuai untuk sesiapa saja yang berat jodoh atau lebih tepat lagi lambat dapat jodoh dan belum berkahwin.
Anda wajib tahu tentang ini iaitu jangan sekali-kali membaca hanya satu doa di atas iaitu dengan memisahkan surah Yusuf ayat 4 dan surah Taha ayat 39 tersebut. Ia perlu dibaca kedua-duanya dalam satu masa selepas selesai solat.
Baca : Doa Supaya Cepat Dapat Jodoh
Surah Yusuf ayat 4 perlu dibaca terlebih dahulu sehingga selesai, kemudiannya anda berhenti sebentar sebelum meneruskan bacaan keratan ayat daripada surah Taha ayat 39. Jangan terus disambung setelah habis membaca surah Yusuf ayat 4 tersebut.
Anda wajib menggunakan doa seri wajah atau doa pemanis muka dari surah Yusuf dan surah Taha ini dengan tujuan untuk kebaikan seperti untuk disayangi suami atau isteri, sesiapa sahaja dan sebagainya. Jangan digunakan ke arah yang tidak baik.
Untuk kesan yang lebih cepat dan berkesan, anda digalakkan membaca doa seri wajah ini setiap kali bertemu dengan orang yang anda kasihi seperti kekasih, suami, isteri dan sebagainya. Lebih afdal jika dibaca di hadapannya.
Anda tidak perlu membaca doa seri wajah ini dengan nada yang kuat dan jelas, ia memadai dengan membaca ayat pengasih ini di dalam hati ditambah dengan niat di dalam hati dengan niat yang baik dan ikhlas.
Selain membaca doa penyeri muka untuk isteri atau suami, anda boleh juga mengamalkannya dengan sentiasa membaca kedua-dua doa ini setiap kali habis solat dengan niat untuk dikasihi orang ramai atau masyarakat. Bacalah sebanyak 3 kali selepas solat.
Semoga perkongsian doa seri wajah pemanis muka ini akan membantu anda untuk mencapai impian dan keinginan anda untuk dikasihi oleh mereka yang anda sayang. Amalkan dengan kebaikan dan niatkan semuanya kerana Allah SWT. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog