Daun sup adalah antara tumbuhan sayuran yang digunakan dalam masakan harian. Selain dibeli di kedai, kita boleh tanam sendiri di rumah dan cara tanam pokok ini tidaklah susah.
Berbagai cara untuk menanam daun sup dan antaranya yang popular adalah dengan guna akar, keratan batang yang disemai di dalam botol yang ada air atau dari biji benih.
Zaman sekarang ramai suri rumah yang suka tanam sendiri dengan kaedah hidroponik, guna bekas telur selain tanpa tanah, semuanya dilakukan di dapur sahaja.
Cara Tanam Daun Sup Supaya Subur
Kepada anda yang nak belajar tanam sendiri, kami kongsikan panduan cara tanam daun sup hasil perkongsian daripada seorang pengguna Facebook yang berkongsi cara menanam pokok sayuran ini.
Katanya, tanaman yang mempunyai khasiat tersendiri ini lebih baik ditanam sendiri kerana ia amat mudah dan kita lebih berpuas hati serta kebersihan lebih terjaga.
Ada tiga kaedah menanam daun sup dan anda boleh mencuba salah satu daripadanya atau kesemuanya sekali. Antara kaedah tersebut adalah:
- Semai biji benih
- Guna akar yang putih dan tunas
- Guna keratan batang
Cara Semai Daun Sup Dari Biji Benih
1. Sebelum menanam daun sup anda perlu sediakan tapak semaian seperti guna tray semaian yang boleh dibeli di mana kedai seperti Eco contohnya.
2. Sediakan biji benih daun sup dan rendamkan untuk semalaman atau 10 jam sekurangnya dengan menggunakan air paip.
Ia lebih baik dengan gunakan air hujan atau sebarang air yang tidak mempunyai klorin untuk merendam bagi mengaktifkan benih supaya cepat dan mudah bercambah.
Anda boleh juga taburkan terus ke atas tanah dan ia tidak salah. Walau bagaimanapun, teknik rendaman dikatakan lebih baik.
3. Keringkan biji benih daun sup atau toskan menggunakan kertas tisu atau sebarang alat tos yang mempunyai lubang halus. Seterusnya ia boleh disemai.
4. Tanah perlu dibasahkan terlebih dahulu sebelum semai benih. Benih daun sup sememangnya sangat kecil dan memerlukan sedikit kesabaran untuk menyemai.
Selepas menyemai pastikan anda menutupnya dengan lapisan tanah yang nipis dan siram benih dengan penuh berhati-hati menggunakan spray yang halus.
Selepas siap, tray semaian harus diletakkan di kawasan yang redup dan teduh yang kurang sinar matahari.
Pastikan ia tidak terlalu terdedah pada cahaya matahari serta guna tanah gembur sahaja dan yang tidak bertakung air.
5. Jangkaan benih sup akan bercambah kebiasaannya selepas 10 hari dan ke atas atau paling lama adalah dalam masa dua minggu.
Anda perlu bersabar apabila cuba menanam daun sup guna biji benih dan pastikan ketika dalam proses semai pastikan tanah tidak kering dan ia perlu basah.
Sekiranya anda mendapati tanah menjadi kering kekurangan air, anda boleh spray tanah supaya ia menjadi lembab.
6. Apabila biji benih telah tumbuh serta mengeluarkan empat daun, ia perlu dialihkan ke dalam pasu atau bekas yang sesuai untuk terus hidup dan membesar.
Sekali lagi diingatkan, jangan mendedahkan anak pokok daun sup kepada cahaya matahari yang terik pasti ia dalam keadaan redup sahaja.
7. Pokok daun sup biasanya akan tumbuh agak lambat dan sekiranya ia dijaga dengan baik, ia mampu hidup selama lebih kurang dua tahun.
8. Untuk aktiviti penyiraman air pula, jangan terlalu kerap menyiram pokok daun sup dan siramkan mengikut keperluannya sahaja apabila tanah kelihatan kering.
10. Anda boleh meletakkan baja yang sesuai dengan pokok daun sup hanya dalam sebulan sekali sahaja atau ikut keperluan.
11. Sesekali siramkan pokok ini dengan menggunakan air basuhan beras tetapi janga terlalu melebih-lebih.
Daun sup sebenarnya amat menyukai air basuhan beras dan ia akan menjadi subur serta hijau dengan cantik.
Baca : Cara Tanam Pokok Kacang Bendi
Cara Menanam Daun Sup Guna Akar
Berikut pula perkongsian dari Tuan Pyan Sempoy yang menunjukkan cara-cara menanam daun sup dengan tiga kaedah iaitu guna akar, keratan batang dan biji benih.
Semua kaedah yang beliau lakukan disertakan dengan gambar-gambar langkah demi langkah sehingga pokok ini membesar subur menghijau dan sedia dituai sepenuhnya.
Kaedah Biji Benih
Gambar di atas adalah anak pokok sup yang berusia sebulan lebih hasil daripada semaian guna biji benih dan ia boleh dialihkan apabila besar sedikit lagi.
Cara-cara Menyemai Biji Benih
1. Siapkan media untuk menanam, saya gunakan campuran cocopeat, sekam bakar dan tanah hitam. Isikan dalam bekas atau pasu, siramkan air dulu.
2. Taburkan biji benih sedikit sahaja, jangan terlalu banyak, cukup sekadar secubit dan tak perlu menimbus dengan tanah kerana bijinya terlalu kecil.
Apabila kita spray air nanti, ia akan tertimbus sendiri dan terbenam di dalam tanah tersebut.
Mungkin kebanyakkan orang yang cuba menanam daun sup tetapi gagal, mungkin disebabkan salah teknik iaitu dengan menimbuskan tanah pada benih.
Apabila tertimbus secara sepenuhnya, biji benih yang bercambah tidak akan dapat menembus tanah untuk mendapatkan cahaya matahari.
3. Spray dengan air sedikit sahaja selepas biji benih telah dimasukkan ke dalam bekas. Cukuplah sedikit atau sekali dua spray sahaja.
4. Kemudian letakkan ia di tempat yang teduh dan nak ditutupkan boleh atau tidak tutup pun boleh. Saya punya, saya biarkan ia terbuka.
5. Cukup siramkan air dua kali saja sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu petang. Insya Allah dalam 7-10 hari ia akan tumbuh.
Sekiranya ia tidak tumbuh dalam jangka masa yang dinyatakan di atas, bermakna cubaan anda akan gagal sepenuhnya.
Kaedah Guna Akar dan Keratan Batang
Gambar pokok daun sup di atas adalah hasil semaian menggunakan keratan batang yang saya beli dari pasar.
Cara Semai Benih Pokok Daun Sup
1. Pilihkan pokok yang masih segar dan hijau serta yang mempunyai banyak akar yang masih berwarna putih bersih.
Pastikan ia mempunyai tunas atau anak kecil dan ketiga-tiga syarat ini adalah wajib untuk memastikan ia dapat hidup sempurna dan subur.
2. Potongkan semua batang daun sup terkecuali tunas-tunas yang kecil.
3. Rendamkan di dalam air dan pastikan akarnya tenggelam yang bertujuan untuk mengaktifkan akar selama 1 hingga 2 hari.
4. Apabila ia kelihatan masih segar dan sihat serta tunas pula makin membesar, ia boleh di tanam di atas tanah, pot atau pasu mengikut kemahuan sendiri.
5. Siramkan sedikit sahaja dan jangan terlebih siraman. Perkara ini juga menjadi penyebab kegagalan kita menanam daun sup kerana berlebihan air.
6. Kemudian, letakkan pokok sup tersebut di tempat yang teduh selama satu hingga dua minggu dan lihat hasilnya nanti.
Gambar di atas juga adalah pokok daun sup yang ditanam dengan cara keratan batang yang mempunyai akar.
Umurnya satu bulan selepas dipindahkan daripada induk dalam gambar yang pertama di atas.
Beli Biji Benih Online
Jika anda sedang mencari biji daun sup, anda boleh membeli secara online menerusi laman Shopee atau Lazada yang mana harga benih ini tidak terlalu mahal dan kami sediakan pautan terpilih.
Tips Cara Menanam Pokok Daun Sup
Dikongsikan juga video tutorial penanaman pokok daun sup dengan kaedah yang paling mudah termasuk tips bagaimana untuk menanam pokok ini dengan betul.
Dua video perkongsian adalah daripada channel YouTube Nacqris Backyard Garden dan Encik Muhamad Fauzie Mansor yang kedua-duanya berkongsi petua dan cara menanam daun sup.
Macamana? Mudahkan sebenarnya cara tanam daun sup sama ada guna akar atau rendam dalam botol yang berisi air saja. Cuma kita perlu buat step by step, mesti hidup.
Semoga perkongsian Donis De Donnis cara untuk menanam daun sup ini akan dapat membantu anda untuk cuba menyemai tanaman ini dari kecil sehingga ia besar dan subur. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog