Agar-agar santan yang dicampurkan dengan air daun pandan sememangnya sedap dan sangat ringkas cara nak buat berpandukan kepada resepi sukatan cawan samada diletakkan atau tanpa telur ia tetap menyegarkan tekak dijadikan sebagai pencuci mulut.
Mempunyai nama yang berbagai mengikut tempat dan negeri serta panggilan kepada makanan ini sangat istimewa yang mana antaranya seperti agar-agar lumut jelita yang menyajikan aroma yang amat wangi satu rumah.
Jika anda ingin cuba buat sendiri di rumah, sila ikuti step by step seperti yang dikongsikan berpandukan kepada gambar berserta bahan-bahannya yang amat simple dan mudah untuk didapati.
Resepi Agar-Agar Pandan Santan Paling Mudah
Ada dua versi agar-agar santan tali atau jenis serbuk ini iaitu menggunakan daun pandan dengan pewarna hijau epal serta guna gula Melaka mengikut cara yang sama tetapi hanya bahannya sedikit berbeza.
Bahan-Bahan
- 10 gram agar-agar tali
- 4 cawan air / 1 liter
- 1 santan kotak
- Sebiji telur
- 1 cawan gula
- 5 helai daun pandan
- 1/2 sudu kecil garam
- Pewarna hijau epal
Cara Membuatnya
1. Didihkan agar-agar samada yang bertali atau jenis yang serbuk, biasanya sebungkus 11 atau 10 gram bersama dengan satu liter air bersamaan dengan 4 cawan guna periuk yang agak tinggi.
2. Sambil menunggu ia mendidih, bolehlah blend 5 helai daun pandan dengan secawan air sahaja jangan lebih. Sekiranya anda guna perisa pandan, sila skip step ini.
3. Kemudian, masukkan santan kotak ke dalam mangkuk bersama dengan setengah cawan air kosong diikuti dengan sebiji telur yang dipecahkan ke dalamnya bersama dengan sedikit garam supaya santan akan rasa lemak.
4. Kacaukan santan kelapa segar jika ada berserta telur sehingga sebati, sebaiknya guna whisk supaya telur lebih hancur dan larut apabila dimasak nanti.
5. Apabila agar-agar telah mendidih, masukkan secawan gula, kurangkan gula jika anda tak mahu terlalu manis dan sila adjust rasanya mengikut selera masing-masing.
6. Tapiskan air daun pandan yang telah dikisar itu tadi dan masukkan ke dalam periuk yang sedang panas dan tambahkan pewarna sekiranya perlu dan biarkan ia mendidih semula.
7. Masukkan pula campuran santan dan telur itu tadi ke dalam periuk setelah ia mendidih dan kacaukan supaya telur tidak menjadi tergumpal atau tidak cantik kejadiannya nanti.
8. Boleh kuatkan sedikit api supaya ia menggelegak dengan jayanya dan pastikan sentiasa mengacau serta ia tidak melimpah keluar dari periuk dan inilah sebabnya perlu guna periuk yang tinggi.
9. Apabila ia mendidih sepenuhnya, bolehlah perlahankan api dan kacaukan sedikit berulangkali, seterusnya masukkan ke dalam acuan tupperware atau apa sahaja jenis yang anda mahukan.
Biasanya, untuk agar-agar santan pandan sukatan cawan ini saya gunakan bekas acuan bersaiz 8x8 inci dan hasilnya sangat memuaskan hati kerana ngam-ngam cukup.
Apabila ia telah suam dan sejuk, anda boleh masukkan ke dalam peti ais supaya ia menjadi lebih keras lagi dan rasa sangat sedap apabila nak makan nanti.
Untuk resepi agar-agar santan gula Melaka, sama sahaja caranya dengan hanya memasukkan gula merah tersebut yang mengantikan air daun pandan dan kuantiti pula sebanyak 200 gram jika agar-agar serbuk sebanyak 20 gram.
Tutorial Cara Buat Agar-Agar Lumut
Berikut adalah video tutorial bagaimana cara untuk membuat agar-agar santan daun pandan ini yang dikongsikan oleh Saudara Mohd Zulfadhli Khobin dari akaun laman sosial popular Tik Tok miliknya.
Baca : Resepi Puding Roti & Milo Tanpa Telur
Rujukan Dari Facebook
- Zuhaidar Mohd Sofi
- E-mah Najmah
- Nur Ain Rahman
- Aishah Mohd
- Mastura Razali
- Nur Azzariah Mokhtar
Kesimpulan
Sebenarnya tak susah pun nak buat agar-agar macam ni, kata orang pejam mata je pun dah boleh buat. Biasanya, puding seperti ini amat popular pada bulan puasa kerana dikatakan dapat menyejukkan tekak yang sedang dahaga.
Diharap perkongsian resepi agar-agar santan pandan guna sukatan cawan ini dapat memudahkan tugas anda untuk menyediakannya di rumah atau di mana sahaja anda berada. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog