Masak singgang ikan tongkol, tenggiri, selayang, kembung dan segala macam jenis ikan sememangnya sangat sedap, lazat menyelerakan jika kena cara serta resepi memasaknya samada style Kelantan, Terengganu atau utara.
Cukup bahan-bahan yang diperlukan dan dibuat mengikut langkah demi langkah pasti ikan singgang anda itu menjadi kerana ia sangat mudah untuk dimasak, budak sekolah pun boleh buat dan amat sesuai untuk anda yang nak diet sihat.
Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat kesedapan masakan ini bergantung kepada jenis ikan dan ada juga berkata ia berpandukan kepada bahannya yang dikatakan ada rahsianya yang tersendiri.
Di sini dikongsikan resepi ikan singgang Terengganu dan negeri Kelantan style berserta cara yang dimasak oleh personaliti popular di Malaysia ia Khairul Aming yang menunjukkan caranya menerusi video.
Resepi Ikan Singgang Terengganu & Kelantan Yang Simple
Biasanya masak singgang sinonim dengan orang bujang kerana cara nak buat sangat simple saja dan masukkan semua bahan sekaligus serta tunggu hingga mendidih dan ikan masak sepenuhnya, terus boleh makan.
Namun, lain orang lain resepinya dan dikatakan jika nak lagi sedap, kuahnya jangan terlalu cair serta tak lupa juga dengan sayur yang sesuai untuk digandingkan dengan ikan iaitu kacang bendi.
Berikut adalah resepi ikan singgang daripada saudara Mohd Rozmie yang berkongsi cara-cara berserta dengan bahan utama selain menggunakan ikan curut atau dipanggil juga ikan selayang atau sardin.
Masak Singgang Ikan Curut, Tongkol & Tenggiri
Bahan-Bahan
- 4 ekor ikan curut
- 3 ulas bawang putih
- 3 ulas bawang merah
- 1 inci kunyit
- 1 inci halia
- 3 keping asam keping
- 4 biji cili padi
- 1 biji cili merah
- 1 batang serai
- Kacang bendi
Cara Penyediaan
1. Proses pertama sehingga siap sangat mudah dimulai dengan menghiris nipis bawang merah, bawang putih, sedikit halia dan juga kunyit seperti yang ditunjukkan dalam gambar.
Ketukkan serai sedikit supaya pecah dan jangan dipotong kacang bendi kerana ia akan mengeluarkan lendir. Namun, citarasa kita berbeza, jadi jika anda suka ia dipotong, silakan dengan hormatnya.
2. Masukkan air ke dalam periuk dan kuantiti air pula perlu agak-agak dengan berapa banyak ikan yang nak dimasak. Kemudian masukkan semua hirisan itu tadi dengan asam keping dan serai.
3. Masakkan dengan guna api yang sederhana serta tutupkan periuk sehingga ia mendidih. Perasakan dengan garam secukup rasa, kemudian masukkan ikan yang telah siap dibersihkan itu tadi.
4. Pastikan ikan telah masak sepenuhnya dan masukkan sayur bendi. Seteruskan rasakan kuah samada telah cukup masin mengikut citarasa dan mulut anda sendiri. Jika tawar boleh ditambahkan garam sedikit. Begitulah.
Untuk pengetahuan, kalau dengan cara orang Terengganu, kadangkala ada yang memasukkan sedikit lengkuas berserta dengan cili padi yang tidak dipotong atau diketuk, semua ini berdasarkan selera masing-masing.
Kaedahnya hampir sama saja tetapi dari segi bahan ada sedikit perbezaan. Begitu juga dengan jenis ikan. Di Kelantan ikan tongkol sangat popular untuk masak singgang ini begitu juga di Terengganu.
Berikut adalah senarai jenis-jenis ikan yang biasanya digunakan untuk resepi masak singgang ikan. Anda boleh memilih salah satu daripadanya. Antaranya adalah:
- Ikan kembung
- Tongkol / Ikan kayu / Aya
- Tenggiri
- Selar
- Ikan parang
- Siakap
- Kerisi
- Haruan
- Dan lain-lain
Walau apa jenis ikan yang anda guna, anda perlu pastikan ianya betul-betul masak. Jika separuh masak, rasa ikan pasti tak sedap dan mungkin ia berbau hanyir menjadikan hilang selera nak makan.
Baca : Resepi Singgang Daging Yang Tersedap Style Terengganu
Rujukan Bahan dan Gambar
Ikan Singgang Khairul Aming
Berikut pula perkongsian daripada personaliti media sosial yang terkenal iaitu Khairul Aming turut berkongsi cara untuk memasak masakan ini dengan memaparkan proses dari awal sehingga akhir sampai siap.
Kesimpulan
Sekiranya anda ingin menjaga badan atau sedang berdiet, ikan singgang ini tersangatlah sesuainya kerana kaedahnya hanya dengan merebus tanpa sebarang minyak atau bahan yang boleh jadikan lemak di badan.
Saya antara orang yang sangat suka masakan ini dan lebih sedap jika dimakan bersama budu diperah limau kasturi, sambal belacan berserta ulam-ulaman seperti ulam raja, timun, jering dan sebagainya.
Lebih menarik lagi, ramai pakar masak seperti blogger Azie Kitchen, Che Nom, Yatie Kitchen, orang utara dan sebagainya turut mengolahkan makanan ini menjadi sedap dan ada yang membuat kuah kuning dan macam-macam lagi.
Diharap perkongsian resepi ikan singgang sedap ini dapat membantu serta memudahkan tugasan anda untuk menyediakan menu ini walau di mana sahaja anda berada. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog