Stress atau tekanan adalah merupakan satu tindak balas daripada fizikal, mental dan emosi yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja apabila permintaan, kehendak atau sebarang tuntutan yang diinginkan tetapi tidak dapat dipenuhi.
Stress boleh dialami oleh sesiapa sahaja tidak mengira tua atau pun muda termasuk kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas. Persekitaran antara faktor berlakunya tekanan yang terkadang sukar untuk mengatasi atau menanganinya.
Antara faktor stress yang biasa berlaku pada setiap orang adalah seperti tertekan di tempat kerja kerana tugasan, pelajar yang sedang belajar di sekolah atau universiti, suami dan isteri yang mempunyai masalah keluarga, suasana bising dan banyak lagi.
Walau bagaimanapun, tahap stress seseorang adalah berbeza mengikut jenis beban yang mereka dihadapi. Adakalanya, ada yang menghadapi tekanan perasaan yang melampau sehingga susah untuk mengawal keadaan dan diri sendiri.
Mengalami tekanan yang keterlaluan berpanjangan sehingga amat payah untuk seseorang itu mengawal dirinya pasti akan menyebabkan kesan buruk memudaratkan kesihatan dan berhadapan dengan risiko berbagai jenis penyakit.
Cara Menangani & Mengatasi Stress
Sebenarnya banyak cara untuk hilangkan stress yang boleh dilakukan dan anda hanya perlu tahu bagaimana untuk mengatasi tekanan yang sedang anda hadapi itu dengan bijak dan betul.
Jika anda mengalami stress yang teruk serta ingin mengurangkan rasa tertekan, anda boleh mengamalkan beberapa langkah bijak dengan tips ini seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia :
1. Bertenang
Apabila anda terasa tertekan, marah atau berasa ketegangan, jangan ikutkan perasaan dan bertenanglah kerana dengan ketenangan dapat membantu kurangkan kitaran stres yang negatif pada peringkat awal.
Marah adalah satu daripada berbagai jenis emosi dalam diri kita. Apa yang perlu dilakukan ketika anda sedang marah? Ikuti saranan daripada Bahagian Pendidikan Kesihatan cara untuk mengawal marah berikut.
2. Bernafas Dengan Dalam
Anda boleh amalkan latihan pernafasan yang akan meningkatkan pertukaran karbon dioksida dan oksigen dalam sel tubuh badan, kerana dengan cara ini ia dapat mengurangkan ketegangan yang anda alami.
3. Berkata RELAKSLAH
Anda boleh katakan pada diri anda sendiri, saya sedang stress, rilekslah, tak apa atau tak mengapalah. Tolong bersabar wahai diri. Kata-kata sebegini pasti dapat mengurangkan stres serta akan tenteramkan perasaan.
4. Solat atau Beribadat
Anda boleh solat, mengaji Al-Quran, zikir, doa atau semua yang berkaitan dengan ibadah kita sebagai orang Islam. Kerana solat contohnya, ia dapat memberi sokongan emosi serta melegakan perasaan diri kita sendiri.
Baca Juga : Doa Hilangkan Stress dan Tekanan Jiwa
5. Mengadu atau Berkongsi Masalah
Luahkan masalah dan perasaan anda atau bercakap dengan sahabat karib, ahli keluarga atau sesiapa yang anda percayai dan dengan mereka yang memahami diri anda.
Apabila kita berkongsi masalah serta meluahkan apa yang terbuku di hati dengan orang lain, pasti anda akan merasa puas dan lega. Tindakan ini dapat kurangkan stress dalam diri.
Setelah semua masalah diluahkan kepada mereka yang kita percaya, tentunya kita akan merasa diri kita dihargai serta masih lagi ada orang yang mengambil berat serta menyayangi diri kita.
6. Diurut atau Berurut
Kebiasaannya apabila tertekan, semua otot-otot di bahagian bahu dan leher akan menjadi tegang. Anda boleh belajar cara urut bahu dan leher sendiri kerana urutan yang dilakukan dapat melegakan ketegangan otot.
Jika anda suami atau isteri, urutkan antara satu sama lain bagi meringankan tekanan. Selain itu urutan kaki juga boleh dilakukan sendiri bagi mengurangkan stress serta ia juga akan melancarkan perjalanan darah.
7. Mendengar Muzik dan Berehat
Apabila anda dalam keadaan tertekan, berehatlah secukupnya sambil dibuai dengan alunan muzik yang lemah lembut. Mendengar muzik akan membantu untuk mengurangkan kadar denyutan jantung.
Pilihan muzik yang lembut juga berperanan kerana ia akan membuatkan anda jadi tenang selain tubuh badan akan lebih santai dan relaks berserta dengan pernafasan lebih teratur dan kembali normal seperti biasa.
8. Beriadah
Anda boleh meluangkan masa dengan melakukan aktivit-aktivit riadah di luar rumah bersama keluarga atau sahabat handai. Buatlah aktiviti yang anda suka kerana dengan beriadah mampu menenangkan fikiran serta akan mengembirakan perasaan.
9. Lakukan Senaman
Membuat senaman yang betul seperti jogging, berjalan dan seumpamanya pasti akan mengurangkan stress serta rasa tegang pada otot-otot. Selain itu, senaman akan meningkatkan pengeluaran hormon dan membuatkan anda akan lebih tenang, selesa dan sihat.
10. Berfikiran Positif
Berprasangka, syak wasangka atau tersalah tafsir dalam sesuatu situasi juga boleh menyebabkan stress yang keterlaluan. Oleh itu, berfikiran positif adalah jalan penyelesaian yang bijak dan tepat.
Untuk mengelakkan tekanan ketika berada dalam situasi negatif sebegini, cubalah melihat dari sudut yang baik serta positif kerana cara ini akan membantu anda serta akan meningkatkan harga diri sendiri.
Walau apa sekalipun keadaan itu, kita harus berfikiran positif agar tidak merasa tertekan yang akan mengakibatkan stress melampau. Positif adalah cara terbaik untuk menangani stress dengan berkesan. - MyHealth
Tanda-Tanda Stress
Bagaimana untuk ketahui anda sedang tertekan? Mungkin ia berlaku tanpa anda sedari. Berikut adalah tanda-tanda stress fizikal, psikologi dan tingkah laku seperti dikongsikan Unit Bimbingan dan Kaunseling.
Zikir Penenang Hati dan Jiwa
Dikongsikan juga zikir penenang hati, perasaan dan jiwa yang resah gelisah dek kerana berbagai sebab termasuk dalam keadaan tertekan.
Audio zikir Ya Rabbana Tarafna ini mampu tenangkan hati bila anda mendengarnya sehingga boleh tidur dengan lena atau study dengan tenang tanpa sebarang gangguan.
Kesimpulan
Setelah kesemua langkah-langkah yang dikongsikan di atas anda lakukan, pasti hasil kesan fizikal dari kaedah tersebut akan dapat dilihat dengan lebih jelas dan terang.
Antaranya seperti kadar denyutan jantung, rasa takut atau gementar, gelisah atau gugup, rasa marah yang amat sangat serta sakit kepala pasti dapat dikurangkan kerana berlakunya tindak balas hormon adrenalin.
Seteruk mana pun stress atau tekanan perasaan yang teruk dialami, ia perlu ditangani dengan berterusan kerana dengan cara ini akan dapat memastikan diri kita sentiasa sihat dari segi emosi, fizikal dan mental.
Walau bagaimanapun, punca stress perlu dikenalpasti terlebih dahulu sebelum tindakan susulan bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang betul untuk memastikan perkara ini dapat diatasi dengan berjaya.
Apa yang terbaik adalah segera berjumpa doktor pakar atau mereka yang lebih arif tentang masalah yang kita hadapi atau pun mengadulah kepada ahli keluarga atau kawan-kawan terlebih dahulu untuk mencari jalan penyelesaian.
Pastikan anda tidak murung dan merahsiakan masalah anda, jangan sekali-kali mengambil jalan mudah untuk mengatasi stress. Cara yang betul adalah meluahkan perasaan kepada sesiapa yang kita percayai adalah jalan terbaik.
Semoga perkongsian cara mengatasi stress dengan berkesan ini dapat membantu anda yang sedang berhadapan dengan perkara ini. Semoga semua masalah yang anda hadapi dapat diselesaikan dengan berjaya dan berakhir dengan gembira. Insya Allah. - Bukit Besi Blog