Nasi lemak lebih sedap digandingkan dengan sambal ikan bilis atau ayam masak merah dan kacang tanah, pasti berselera makan ditambah dengan resepi warisan nenek turun temurun.
Mungkin ramai yang tahu cara masak nasi lemak memandangkan makanan yang amat popular di Malaysia ini mempunyai berbagai versi dan resepi yang diolah oleh ramai pakar masakan.
Walau bagaimanapun, resepi nasi lemak yang paling sedap dan sambal ikan bilis yang tahan lama, hanya tukang masak saja yang tahu betapa lazatnya masakan sendiri.
Namun, cara orang Kelantan dan Terengganu agak berbeza daripada orang utara yang mana sambal nasi lemak dimasak dengan ikan tongkol dan rasanya agak berbeza.
Tetapi zaman sekarang, resepi nasi lemak biasanya menggunakan santan kotak dan dimasak guna rice cooker atau periuk Noxxa serta ada yang hanya kukus sahaja.
Apa sekalipun cara masing-masing, bahan asas nasi lemak masih lagi sama tidak berubah iaitu menggunakan santan sama ada jenis segera atau santan kelapa segar.
Resepi Nasi Lemak Sambal Ikan Bilis
Kami kongsikan satu resepi nasi lemak bersama cara masak sambal ikan bilis yang sedap dan mudah yang dikongsikan oleh Muhammad Zakwan di Facebook.
Perkongsian resepi ini menggunakan sukatan cawan untuk beras manakala nasi pula boleh digunakan atau tanpa daun pandan mengikut kehendak sendiri.
Bahan-Bahan Nasi
- 3 cawan beras
- 3 cawan air
- ½ cawan santan pekat
- 2 helai daun pandan
- Sebatang serai yang diketuk
- ⅓ sudu kecil garam
Bahan-Bahan Sambal Nasi Lemak
- Secawan ikan bilis
- 20 biji cili kering
- ½ cawan minyak masak
- 5 biji bawang merah kecil
- 2 biji bawang besar
- 1 cm halia
- Sedikit belacan
- Air asam jawa
- Dua sudu besar gula
- Garam secukup rasa
Cara Masak Nasi
1.Bersihkan beras dan toskan. Anda boleh guna beras jenis apa pun termasuk beras Basmathi atau Faiza.
2. Masukkan beras ke dalam rice cooker dan masak seperti biasa sehingga air menjadi kering.
3. Kemudian masukkan air, garam dan daun pandan. Kacaukan sehingga ia sebati sepenuhnya.
4. Teruskan memasak seperti mana anda memasak nasi biasa. Apabila air kelihatan hampir kering, masukkan santan dan kacau.
5. Untuk santan, anda boleh gunakan santan kotak sekiranya tiada santan segar yang diperahkan hampas dari buah kelapa.
6. Tutup semula periuk tersebut dan tunggu sehingga ia masak. Sesekali cuba lihat agar nasi lemak tidak menjadi hangit.
Baca : Resepi Rendang Keras Pedas
Cara Buat Sambal Ikan Bilis
1. Panaskan minyak dalam kuali atau periuk. Pastikan kuantiti minyak tidak terlalu sedikit.
2. Tumiskan bawang yang telah siap dikisar sehingga ia naik bau wangi.
3. Masukkan cili kisar bersama belacan serta tumiskan menggunakan api yang sederhana kecil. Tunggu sehingga ia pecah minyak sepenuhnya.
4. Masukkan gula dan teruskan menumis sehingga sambal tersebut menjadi warna kemerah-merahan dan berkilat.
5. Biarkan ia mereneh selama kira-kira 10 minit atau sehingga sambal menjadi pekat. Seterusnya angkat.
Untuk resepi sambal ikan bilis, sekiranya anda ingin jenis yang kering anda boleh memasak dengan masa yang agak lama supaya kuahnya menjadi kering.
Manakala, untuk ikan bilis yang rangup perlu digoreng secara berasingan yang mana apabila menggoreng jangan terlalu sehingga ikan bilis menjadi keras dan hangit.
Sekiranya anda lebih suka sambal ikan bilis manis, tambahkan gula atau boleh juga ditambahkan dengan ghula merah. Semuanya mengikut selera masing-masing dan anda boleh olahkan.
Bahan-Bahan Sampingan
Nasi lemak bersama sambal ikan bilis pasti tidak lengkap sekiranya tiada timun batang atau kacang tanah serta ikan bilis goreng.
- Kacang tanah yang telah siap digoreng
- Ikan bilis goreng
- Telur rebus
- Timun
Anda boleh hidangkan nasi lemak yang masih panas bersama sambal ikan bilis, telur rebus, kacang tanah goreng dan hirisan timun segar.
Selain itu, boleh juga ditambah dengan lauk lain seperti ayam goreng berempah, rendang ayam, sambal sotong atau telur goreng mengikut selera anda.
Tips Memasak Nasi Lemak
1. Sesetengah orang yang memasak nasi lemak, beras tersebut digoreng sedikit sebelum ditanak supaya nasi lebih menjadi sedap dan mesra santan.
2. Sambal ikan bilis pula tidak ditambah dengan gula biasa sebaliknya digantikan dengan gula melaka atau gula merah yang dikatakan sambal menjadi lebih power.
3. Selain asam jawa untuk menciptakan rasa masam, anda boleh juga masukkan asam keping sekeping dua untuk rasa yang lebih masam.
4. Rahsia untuk sedapkan nasi lemak adalah dengan meletakkan sedikit planta atau marjerin dan minyak masak sebanyak sesudu besar sudah memadai.
5. Ikan bilis untuk sambal nasi lemak perlu direndamkan dalam air panas untuk beberapa minit supaya apabila ia dimasak akan lebih sedap dan lembut ketika dimakan.
6. Jika anda inginkan sambal yang lebih pekat dan merah, anda boleh lebihkan sedikit bawang besar yang perlu dikisar tetapi pastikan tidak terlebih.
7. Untuk rasa nasi lemak pula, ada yang berpendapat ajinomoto juga boleh dicampurkan dalam nasi tetapi kuantitinya jangan terlalu banyak.
Tutorial Cara Masak Nasi Lemak
Selain membaca artikel di atas, anda boleh melihat video cara-cara memasak nasi lemak yang ditunjukkan oleh pemilik channel Dapur Opah daripada YouTube.
Kesimpulan
Macamana resepi nasi lemak dan cara buat sambal ikan bilis yang dikongsikan ini? Ringkas dan mudah kan? Sebenarnya, ia taklah susah pun untuk memasaknya.
Kalau ditanya pada saya nasi lemak siapa yang paling saya suka, jawapannya adalah masakan ibu saya sendiri. Tetapi ada juga beberapa pakar masakan yang saya minati.
Ada beberapa yang saya suka resepi nasi lemak mereka dan cara mereka juga agak berbeza iaitu resepi dari Azie Kitchen, Che Nom, Chef Wan dan versi Kelantan.
Semoga perkongsian resepi nasi lemak hasil perkongsian Muhammad Zakwan ini sedikit sebanyak dapat membantu anda yang ingin cuba memasak masakan ini. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog