Jika anda nak membela kucing yang comel dan anak bulus yang manja di rumah, anda wajib tahu tentang cara penjagaan haiwan istimewa ini dengan betul dan banyak perkara yang perlu dititikberatkan serta ketahui tips menjaganya supaya haiwan ini sentiasa sihat dan selamat.
Memelihara kucing bukanlah sekadar hanya memberi makan tetapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti masa yang perlu diluangkan bersamanya, makan minum, segala keperluan dan kos perbelanjaan yang agak tinggi.
Sebelum anda memelihara seekor kucing yang berbulu cantik, cute dan bersih, yang harganya sangat mahal atau hanya kucing kampung pastikan anda sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang pastinya akan terjadi nanti.
Sekiranya anda sedang tercari-cari panduan dan kaedah yang tepat untuk menjaganya, di sini dikongsikan bagaimana anda boleh membelanya dengan baik serta dapat menjaminkan kesejahteraan hidup si bulus ini.
Walau apa jenis kucing sekalipun termasuk British Short Hair, Maine Coon, Parsi, kucing terbiar dan sebagainya, ia perlu dijaga sebaiknya sama ada Indoor atau Outdoor serta sentiasa memantau akan keadaan kesihatan dan segala keperluannya.
Cara Penjagaan Anak Kucing Yang Betul Supaya Sihat
Antara perkara yang paling penting sebelum anda mengambil keputusan untuk bela kucing adalah memastikan tentang gaya hidup anda seharian samada ia sesuai atau tidak, jika sebaliknya serta tidak bersesuaian, usahlah mengambil tanggungjawab ini.
Walaupun kucing adalah seekor haiwan yang sangat berdikari tetapi tidak bermakna semua perkara ia boleh lakukan, oleh itu pastikan ada mempunyai masa terluang yang dikhaskan untuk si comel ini kerana ia sangat perlukan perhatian siang dan malam.
Jika anda seorang yang sibuk berkerja pasti tiada masa untuk menjaga kucing, janganlah sekali-kali memaksa diri kerana akibatnya ditanggung oleh si kucing yang langsung tidak bersalah atau berdosa itu, please jangan ya.
Sekiranya anda masih juga ingin membela kucing walaupun sentiasa sibuk dengan tugasan seharian, sebaiknya belalah sekadar dua ekor terlebih dahulu sekurang-kurangnya, mereka masih mempunyai teman antara satu sama lain apabila anda tiada di rumah.
Selain itu, perlu dipastikan anda tidak mempunyai sebarang alergik iaitu kepada bulu kucing atau yang seumpamanya. Jalan terbaik adalah buat pemeriksaan alergi sebelum anda membawa balik kucing ke rumah untuk dibela.
Bawalah pergi ke klinik haiwan atau veterinar yang berdekatan untuk buat pemeriksaan kucing dan dapatkan jadual khas berpandukan kepada nasihat doktor atau petugas yang menjalankan tanggungjawab untuk memberi nasihat dan rawatan kucing.
Sebenarnya, keperluan untuk ci comel agak banyak dan beberapa situasi yang kurang baik akan berlaku selepas anda membela kucing, antaranya rumah akan berbau najis atau air kencing serta beberapa perkara lain yang perlu disediakan iaitu:
1. Keperluan Asas
- Makanan
- Food dispenser
- Bekas minuman
- Litter box
- Pasir kucing
- Tempat menggaru
- Tempat tidur
- Sangkar
- Barang permainan
- Vitamin dan supplement
- Sikat untuk bulu
- Syampu mandian
- Tuala kecil
- Ubat-ubatan
Senarai keperluan asas yang dinyatakan adalah antara barangan (cat supplies) atau benda yang perlu ada agar semua kebajikan yang diperlukan oleh seekor kucing sentiasa dalam keadaan terjaga secara seratus peratus.
2. Makanan Terbaik Berkualiti
Pemakanan adalah faktor utama yang perlu anda titikberatkan kerana sekiranya makanan yang tidak berkualiti diberikan kepada kucing tentunya kehidupan sehariannya terganggu dek kerana kesihatan yang tidak bagus, jadi berilah makanan yang paling terbaik untuk kucing.
Diet yang seimbang juga perlu berdasarkan kesihatan, faktor umur dan tahap kecerdasan si bulus anda serta perlu juga menjaga kebersihan supaya bersih daripada segala kekotoran untuk elakkan pembiakan bakteria dan virus.
Pastikan membasuh bekas makanan dan minuman kucing dengan kerap sepertimana manusia membersihkan semua pinggan mangkuk kerana kucing umpama seorang bayi yang masih kecil memerlukan perhatian daripada ibu dan ayah.
Perlu diingatkan tidak sekali-kali memberikan makanan manusia yang mana ia akan berhadapan dengan risiko keracunan makanan dan boleh juga berlaku cirit birit, sakit perut, muntah dan sebagainya.
Malahan lebih teruk lagi, si bulus anda juga mungkin akan hilang selera makan dan tidak mahu langsung menjamah sebarang makanan dan apabila situasi ini berlaku segeralah membawanya ke klinik haiwan.
Makanan khas untuk anak kucing sebaiknya disediakan yang mempunyai protein yang tinggi dan ia dapat dilihat pada setiap label bungkusan pada jenis makanan premium atau yang dijual dengan harga yang sedikit mahal tetapi sangat berbaloi apabila anak kucing dapat nutrisi dan tenaga yang mencukupi.
3. Jadual Makanan Kucing
Bilakah waktu yang sesuai untuk kucing makan dan berapa banyak makanan yang perlu diberikan? Persoalan ini pasti ada bagi setiap orang yang menjaga kucing di rumah dan perkara ini sangat penting untuk diketahui, jangan sekali abaikan.
Keperluan makanan bagi setiap seekor kucing berbeza berpandukan kepada usia yang mana anak kucing, kucing remaja dan kucing dewasa, cara makan mengikut jadual dapat menjaga diet kucing sepenuhnya berdasarkan menu makanan berat dan ringan yang tertentu.
Kebiasaannya kucing diberi makan hanya dua kali sehari sahaja iaitu bermula pada waktu pagi dan petang, kadangkala pada waktu senja. Dengan cara ini anda dapat mengawal pemakanan dan nafsu makannya selain ia dapat makan secara teratur.
Tambahan pula, anda juga akan dapat tahu samada ia sihat atau tidak jika sentiasa mengawal secara keseluruhan tabiat makannya dan pastikan makanan sentiasa tersedia kerana adakalanya ada yang jenis suka makan berulang-ulang.
Sebagai contoh jadual makan kucing, di sebelah pagi ia diberikan menu makanan basah, pada waktu tengahari disediakan makanan kering (dry food) dan petang atau malam diulangi dengan makanan basah serta sediakan makanan kering dalam kuantiti yang sikit selepas itu.
Bagi anak kucing yang baru lahir tanpa ibu bapa atau bawah 6 bulan yang sedang dalam proses pembesaran, disarankan anda sentiasa sediakan makanan untuknya kerana waktu makannya tak menentu tetapi perlu dipastikan makanan yang ditinggalkan tidak tercemar.
Obesiti juga boleh terjadi tanpa anda sedari apabila tidak langsung mengawal nafsu makannya, jadi anda perlu bijak membahagikan masa yang sesuai serta kuantiti pula tidak perlu secara berlebihan dan jangan pula terlalu sedikit.
Untuk tempoh 1 sehingga 2 dan 3 bulan, kebiasaannya anak kucing akan cuba tidak menyusu secara perlahan-lahan selepas makanan diberikan kepadanya dan waktu makan yang sesuai adalah pada setiap 6 jam sekali dan cara ini yang terbaik.
Walau bagaimanapun, untuk elakkan daripada anak kucing terus kelaparan atau diberi makanan secara berlebihan, ia perlu ditimbang berat badannya supaya makanan yang perlu dimakannya bersesuaian dengan kadar berat badan anak kucing tersebut.
Berjumpa doktor haiwan untuk bertanyakan tentang jumlah makanan untuk baby kucing sangat digalakkan supaya kesihatan si bulus comel itu akan terus terjamin dan tidak akan mengalami obesiti atau menjadi terlalu gemuk.
4. Air Minuman Yang Bersih Sentiasa Ada
Anda perlu memastikan bekas yang berisi air sejuk dan bersih khas untuk diminum oleh anak kucing kita sentiasa ada dan letakkan di sudut yang mudah untuk kucing minum. Pastikan juga kucing dapat meminum air dengan kerap untuk air dalam badannya.
Walau bagaimanapun, sekiranya kucing anda tidak gemar meminum air yang disediakan, sebagai jalan penyelesaian, anda perlu berikan makanan basah (wet food) kepadanya supaya ia mendapat bekalan air yang mencukupi.
Baca : Makanan Kucing Yang Bagus Untuk Bulu & Gemuk
5. Mandian & Dandanan (Cat Grooming)
Semestinya anda tak perlu memandikan kucing pada setiap hari sepertimana kita mandi, sebaiknya sekali dalam masa 2 minggu, walau bagaimanapun pengurusan dandanan atau cat grooming adalah penting untuk kesihatan si comel anda itu.
Anda harus menyikat bulu kucing dengan seberapa kerap untuk menjaga kesihatan bulu agar tidak rosak dan tidak dijangkiti sebarang parasit seperti kutu dan sebagainya.
Selain itu, sila pantau agar kucing tidak selalu menjilat bulu sendiri kerana dikhuatiri usus si bulus akan tersumbat kerana bulu yang banyak serta sentiasa menelan bulu-bulunya itu.
Walau bagaimanapun, untuk memastikan perkara ini tidak berlaku serta untuk mengurangkan keguguran bulu kucing, di farmasi, Shopee dan Lazada ada menjual ubat-ubatan untuk masalah ini samada dalam bentuk pil dan cecair.
Bukan itu sahaja, grooming juga bermaksud penjagaan diri kucing yang mana semua bahagian badan dan kepalanya perlu dijaga dan ia termasuk telinga yang perlu dicuci, hidung, mulut dan semuanya.
Untuk mandikan kucing, jangan sekali-kali menggunakan air yang sejuk, sebaiknya guna air suam yang dapat melegakan badan si bulus anda serta ia tidak kesejukan selepas dimandikan.
Cara untuk mandikan kucing juga mempunyai kaedah yang betul iaitu dengan menjirus bermula daripada bahagian ekor secara perlahan diikuti dengan badan dan terkecuali muka, hidung dan bahagian telinganya yang sensitif.
Seterusnya, guna syampu khas untuk si comel dan jangan sekali-kali menggunakan shampoo manusia, kemudian gosok atau garukan badannya sehingga syampu meliputi keseluruhan badannya kecuali bahagian kepada sahaja dan pastikan air tidak masuk ke dalam telinga kucing.
Proses mandian sebenarnya dapat membantu mencegah kutu kucing sekiranya ada. Setelah siap, bilaskan kucing dengan air suam sehingga semua buih telah hilang dan bersihkan hidung, mata dan telinga kucing menggunakan kain tuala yang tidak basah atau tisu yang lembap.
Anda disarankan guna tuala yang dikhaskan untuk si manja kerana dengan tuala tersebut ia mampu mengelapkan bulu kucing dengan lebih selamat. Namun sekiranya kucing anda berbulu tebal atau panjang, gunakan hair dryer yang sesuai untuk keringkan bulu.
Untuk suhu hair dryer pula, pasti gunakan level cool sahaja dan tidak panas dan sekiranya anda biarkan kucing menjilat bulu sendiri dengan kerap apabila ia basah, risiko untuk mendapat penyakit kulit adalah sangat tinggi tak kira apa jenis kucing sekalipun.
6. Kebersihan Litter Box
Bekas tempat pembuangan najis kucing atau cat litter box perlu juga ada serta dijaga dan dibersihkan dengan kerap supaya kawasan rumah tidak kotor serta tiada bau-bauan yang tidak menyenangkan para penghuni rumah tersebut.
Bukan manusia sahaja yang selesa malahan si comel anda turut sama kerana litter box tempat najisnya tidak berbau dan si bulus anda akan turut bersih daripada sebarang kekotoran serta bakteria bahaya.
Sekiranya anda membela kucing dengan jumlah yang banyak, apabila tempat najis tidak dibersihkan, kucing biasanya akan membuang di luar daripada tempat tersebut kerana ia juga tidak suka dengan najis sendiri.
Zaman sekarang berbagai jenis cat litter box yang boleh didapati dengan mempunyai berbagai fungsi yang amat menguntungkan kepada tuan si bulus kerana masalah busuk dan kebersihan tiada lagi.
Litter box sebaiknya dicuci setiap dua hari sekali dengan tujuan untuk penjimatan dan juga kebersihan persekitaran untuk kucing supaya ia terus selesa serta dapat mengurangkan risiko sebarang penyakit yang datangnya daripada kotoran najis.
Jika perlu, apabila bekas najis kucing telah dicuci dengan bersih, jemurkan ia di bawah panas terik untuk proses mengeringkan sebelum dimasukkan semula pasir yang baru, begitulah rutin seharian jika membela kucing.
Baca : 10 Jenis Pasir Kucing Yang Terbaik & Murah
7. Tempat Tidur Yang Selesa
Anda perlu sediakan satu tempat khas untuk kucing tidur dengan aman dan selesa. Biasanya, tabiat kucing akan tidur selama 16 jam sehari manakala untuk anak kucing pula lebih daripada jangka masa tersebut.
Penyediaan tempat tidur pula boleh dibuat dengan meletakkan kain bersih seperti tuala atau sediakan cat tree, cat cushion atau seumpamanya agar ia dapat tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan, namun adakalanya kucing lebih suka tempat yang tersorok, sejuk dan redup.
8. Sediakan Tempat Untuk Bercakar
Sememangnya lumrah semua kucing amat suka bercakar dan perlu ada tempat khas untuk kucing mencakar mengasah kuku sendiri supaya semua kelengkapan dan alatan rumah anda selamat daripada kesan cakaran kucing.
Cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan membeli benda ini yang juga dipanggil sebagai cat kitten scratch iaitu tempat kucing mencakar yang banyak dijual di laman Shopee dan Lazada.
Selain itu, anda boleh guna nail clipper memotong kuku anak kucing sekiranya berniat untuk elakkan daripada segala barang yang terdapat di dalam rumah tidak rosak dek kerana cakaran manja si comel anda yang pasti akan berlaku pada setiap hari.
Cara untuk memotong kuku dengan nail clipper adalah dengan memotong pada bahagian hujung kuku sahaja dan perlu dipastikan tidak memotong pada bahagian tengah yang terdapat warna pink di tengah kuku kucing kerana akan menyebabkan ia kesakitan atau berlakunya pendarahan.
Potong kuku dengan menekan secara lemah lembut di bahagian tapak tangan kucing untuk mengeluarkan kukunya dan scratching board pula sangat membantu mencegah daripada perabot atau segala benda daripada terus dicakar.
9. Penjagaan Gigi
Kucing juga memerlukan gigi yang sihat, cantik dan kemas serta tidak bermakna manusia sahaja perlu mendapatkan rawatan gigi, sebaliknya si bulus perlu memberus gigi seperti kita semua dan anda perlu belikan berus gigi yang berbulu lembut.
Manakala ubat gigi pula perlu ditanyakan kepada klinik veterinar dan jangan pula diberikan ubat gigi manusia yang mempunyai kandungan flourida dan ianya sangat membahayakan kepada usus perut si comel jika ia tertelan.
Menjaga gigi kucing bukan sahaja membersihkan gigi tetapi dapat menghindari daripada nafas yang berbau, gigi lebih sihat, dapat menggelakkan daripada ulser mulut dan jika giginya rosak atau berdarah, segeralah bawa ke klinik.
Anda perlu mendidik kucing memberus gigi dengan secara berperingkat iaitu pada mulanya berikan ia merasa ubat gigi guna jari kita untuk menggosok pada pertama kali, esoknya cuba digosok dengan berus gigi pula dan lihat hasilnya.
10. Vitamin dan Ubat-ubatan
Kalau anda sayangkan kucing, vitamin yang terbaik dan suplemen atau ubat-ubatan yang bersesuaian perlu juga ada kerana dengan mengamalkan pengambilan kedua-duanya, kucing anda akan sihat, berbulu lebat dan gemuk. Berbagai jenis vitamin untuk kesihatan kucing termasuk ubat selera makan, supplement untuk menguatkan ketahanan badan dan lain-lain yang boleh anda beli secara online atau di mana-mana Pet Shop atau di klinik haiwan berdekatan.
Begitu juga dengan ubat untuk kesihatannya yang mana biasanya kucing sangat mudah cirit birit, muntah, selsema, kutu yang banyak dan demam, jadi dapatkan ubat seperti ini sebagai langkah berjaga-jaga. Semestinya walau sekali ia akan berlaku terhadap kucing anda, sekurangnya jika terjadi semuanya telah tersedia.
11. Vaksin
Setiap seekor anak kucing boleh divaksin seawal umurnya daripada 6 sehingga 9 minggu berpandukan kepada berat badan berserta keadaan kesihatannya samada sihat atau sakit. Jika ia tidak sihat bermakna ia masih belum sesuai untuk diperkenalkan dengan vaksin.
Vaksinasi (vaccination) adalah satu tindakan yang sangat digalakkan dengan tujuan untuk mencegah sebarang jenis penyakit yang merbahaya seperti Feline Panleukopenia, Feline Leukemia, Sporo, jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan banyak lagi yang berisiko mati dengan cepat.
Sila bertanya kepada Vet tentang vaksin yang perlu diambil serta bilakah masa yang sesuai, kemudiannya Vet akan memberikan tarikh tertentu atau terus divaksin bergantung kepada kesihatan si comel anda.
Untuk makluman, terkadang ada kes yang menyebabkan anak kucing mati secara serentak atau berturut-turut sebelum mencapai umur setahun akibat daripada serangan virus yang amat ditakuti oleh ramai pecinta kucing dan vaksin adalah jalan terbaik.
Apabila kucing telah diimunisasikan, semua kucing akan sentiasa sihat dan akan terus bebas daripada apa sahaja jangkitan yang boleh membawa maut dan yang paling penting anda akan lebih rasa gembira dan bahagia apabila si comel gemuk dan sihat.
12. Kasi atau Mandulkan Kucing
Untuk memandulkan kucing adalah di atas budi bicara sendiri bagi setiap pecinta kucing kerana kasi dilakukan adalah bertujuan untuk mencegah kucing daripada terus membiak atau beranak pinak dengan cepat tanpa dirancang.
Walau bagaimanapun, jika anda lebih suka kucing semakin ramai, itu adalah hak individu yang tidak boleh dipaksa. Tetapi, banyak kebaikan dan kelebihan apabila anda memandulkan kucing samada jantan atau betina.
Apabila kucing jantan dimandulkan, faedahnya adalah ia dapat mengurangkan tabiat seekor kucing jantan yang sering kencing merata-rata tempat serta pemandulan dalam Islam pula amat diharuskan sekiranya dengan niat untuk kebaikan.
Waktu yang sesuai untuk kucing dimandulkan adalah sekitar seawal umur kucing dalam 8 minggu dan ke atas mengikut tahap kesihatan dan berat badannya sendiri, walau bagaimanapun jika terlalu tua ia agak sukar untuk dikasikan.
13. Masa Terluang Untuk Si Comel
Anda wajib luangkan sedikit masa yang dikhaskan untuk si comel supaya dapat main bersamanya pada setiap hari dan tindakan ini dapat mengajar anak kucing supaya menjadi haiwan kesayangan yang cerdik, jinak dan baik (a good pet).
Selain itu, anda dapat menggalakkan kucing menjadi terus aktif dan sihat, dapat membina koordinasi yang bagus, komunikasi yang lebih rapat, serta dapat mencari jalan keluar untuk menangani beberapa behaviour si comel ini dengan secara langsung.
Jika kucing anda amat suka menggigit jari tuannya dan menganggap tangan anda adalah barang mainannya, carilah permainan atau soft toy yang sesuai sebagai ganti kerana tabiat tersebut mungkin akan mencederakan sesiapa sahaja jika terus dibiarkan.
14. Elakkan Makanan Berbahaya
Apabila membela kucing, perkara ini amat wajib diambil tahu supaya kucing tidak makan makanan yang tidak sesuai atau minum air yang tidak sepatutnya. Kopi, teh dan kebanyakkan minuman dan makanan manusia tidak boleh diberikan kepada kucing.
Untuk memastikan keselamatan kucing atau tidak termakan makanan yang beracun, jauhi kucing daripada segala jenis bawang seperti bawang putih yang boleh mengakibatkan anemia pada kucing dan lebih bagus jika diberikan makanan khas untuknya sahaja.
Baca : 9 Jenis Makanan Yang Paling Bahaya dan Kucing Tak Boleh Makan
15. Tumbuhan Yang Bahaya Pada Kucing
Di luar rumah kita sebenarnya terdapat beberapa tumbuhan yang ditanam amat bahaya pada seekor kucing. Jika anda sayang pada kucing jagalah keselamatannya daripada tumbuhan tersebut seperti azalea, tulip bulb, chrysanthemum dan oleander.
Tumbuhan yang bernama Lily pula terbukti sangat beracun dan merbahaya pada semua jenis kucing yang jika didedahkan kepadanya sedikit sebanyak akan menyebabkan kucing berkenaan akan jatuh sakit secara tiba-tiba tanpa disangka.
16. Pencegahan Jangkitan FLEA
Flea atau kutu kucing sememangnya sentiasa berlaku kepada semua kucing yang terdapat di dunia ini dan boleh dikatakan kebanyakkan kucing akan mengalami jangkita flea sekiranya ia seekor kucing yang aktif di luar rumah (outdoor).
Untuk merawat jangkitan flea bukannya perkara mudah kerana ia akan terus berulang-ulang sekiranya tidak dirawat dengan betul serta jika anda mempunyai kucing yang ramai, ia akan terus berjangkit dari seekor kepada semua yang lain.
Apabila anak kucing kerap menggaru, menggigit dan menjilat kulit badannya secara berlebihan, bulu-bulunya akan gugur pada bahagian yang tertentu serta terdapat iritasi pada bahagian kulitnya yang mana ia mungkin telah dijangkiti flea yang perlu dirawat dengan kadar segera.
Jangkitan flea juga berpotensi menjadi pembawa beberapa jenis penyakit yang bahaya daripada berjangkit antara satu sama lain tanpa anda sedari, malahan sesetengah kucing amat sensitif atau mengalami alahan pada saliva flea yang menyebabkan kegatalan yang amat teruk pada kulit.
Selain itu, flea yang terdapat kucing juga mampu menyebabkan kulit manusia menjadi gatal-gatal akibat daripada gigitan flea tersebut dan seterusnya akan menjadi punca pembawa penyakit kepada seorang manusia, jadi dapatkan rawatan dengan cepat.
17. Pencegahan Jangkitan Cacing Usus
Ubat cacing adalah perkara penting juga yang perlu kita berikan pada semua anak-anak kucing yang dibela untuk mengelakkan sebarang jangkitan round worm yang akan menyebabkan berlakunya muntah, cirit-birit dan pneumonia, hookworm boleh sebabkan anemia dan juga tapeworm.
Apabila anda terlihat satu objek asing yang terdapat najis kucing seperti bijirin yang terlalu kecil berwarna putih atau pada bahagian dubur kucing, pastikan anda berikan ubat cacing dengan segera untuk elakkan jangkitan yang akan terjadi lebih teruk lagi.
18. Pantau Kesihatan Kucing
Cara nak tahu adakah kucing kita sakit adalah perkara yang perlu diambil kira kerana jika tidak tahu, anda akan menghadapi masalah besar apabila tidak tahu setiap seekor kucing anda sedang menderita kerana penyakit tertentu.
Untuk tujuan itu, anda perlu memantau dan sentiasa alert dengan keadaan kucing dan terdapat beberapa simptom atau tanda-tanda yang dapat menunjukkan serta menandakan kucing sedang sakit atau tidak sihat seperti berikut:
- Tak selera makan
- Kurang minum air
- Tidak aktif
- Kerap menyorok
- Selalu bersin
- Sedang selsema
- Batuk-batuk
- Berat badan menurun
Apabila anda dapat tahu punca-punca yang dinyatakan di atas, percepatkan masa untuk ke klinik berjumpa dengan Vet tanpa bertangguh dan jangan sekali-kali anda berikan ubat untuk manusia kepadanya kerana ia dapat membunuh kucing serta merta.
19. Mengajar Kucing Berdisplin
Jika anda membela kucing outdoor atau indoor sekalipun, persekitaran dalaman atau luaran setiap rumah adalah satu perkara baru bagi seekor kucing yang baru saja dibela dan mereka perlu belajar sesuatu yang baru di tempat baharu.
Untuk itu, tujuan mendisplinkan kucing supaya ia tidak mencakar sebagai contoh, sediakan scratching post agar ia tidak mencakar perabut atau meja di rumah sama ada di luar atau dalam, dengan cara ini kita telah menukarkan satu tabiat kucing.
Jika nak elakkan daripada kucing menarik langsir atau ia ingin memanjat ke tempat yang tinggi, anda perlu sediakan satu tiang khas yang disaluti dengan kain atau tali guni sebagai ganti atau cat tree yang banyak dijual di mana-mana sahaja termasuk secara atas talian.
Apabila peralatan tersebut ada, anda telah mampu displinkan kucing dengan jayanya selain dapat menyelamatkan harta benda daripada terus menjadi mangsa si comel dan inilah antara risiko utama serta perkara penting yang perlu difikirkan sebelum membelanya.
20. Utamakan Keselamatan
Apabila pertama kali memelihara kucing di rumah, banyak perkara yang perlu anda fikirkan dan antaranya adalah untuk keselamatan kucing itu sendiri kerana lazimnya kucing sentiasa menggunakan mulut untuk bermain dengan apa sahaja selain dengan kuku.
Walau secomel mana sekalipun kucing tersebut, pastikan kucing tidak bermain dengan segala barang yang memberhaya kepada dirinya seperti bahan peluntur Clorox, sabun pencuci, getah gelang, klip kertas, dental floss, ubat-ubatan, penutup botol dan sebagainya.
Kebanyakkan benda dan barangan di dalam rumah hampir kesemuanya akan memudaratkan kepada kucing jika kita tidak memerhatikan secara betul-betul dan pastikan setiap semua itu disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kucing sebelum perkara buruk akan berlaku.
21. Kolar Identiti
Memakaikan kolar pada kucing bukanlah satu kemestian tetapi banyak faedahnya jika anda pakaikan kepadanya iaitu sekiranya ia telah keluar dan hilang dari rumah, sesiapa yang berjumpa akan tahu di mana harus dipulangkan semula si bulus tersebut.
Namun ada juga kekurang yang terdapat pada kolar seperti kucing yang berbulu tebal dan apabila dipakaikan, kolar tersebut terlihat tenggelam dek kerana bulunya yang terlalu lebat sehingga sukar untuk dilihat identitinya.
Keburukan lain pula adalah sesetengah kucing tidak selesa malahan jika terlalu ketat akan menyebabkan kesukaran kucing untuk bernafas seperti biasa dan ini akan membuatkan si kucing merasa sakit dan akan cuba untuk membuang kolar tersebut.
Akhir Kata
Sebenarnya, masih banyak lagi yang perlu anda tahu tentang bagaimana cara untuk menjaga kucing dan semua perkara yang dikongsikan di atas adalah secara asas sahaja. Itu belum lagi dikira dengan kucing yang sedang mengandung, yang telah beranak, kitten yang baru lahir atau baby kucing yang sedang menyusu tanpa mempunyai ibu.
Sebagai seorang pecinta kucing yang ingin menjaga seluruh kebajikannya, perkongsian ini adalah antara perkara-perkara yang WAJIB anda ketahui kerana semuanya adalah untuk kebaikan seekor kucing yang memerlukan perhatian daripada seorang manusia sepanjang masa.
Tak perlu berkira sekiranya nak memelihara si bulus dan seharusnya berfikirlah dengan rasional atau fikirlah seberapa banyak kali yang boleh samada anda adalah seorang yang bertanggungjawab atau tidak serta berpandukan kepada kemampuan kewangan untuk kos penjagaan kucing.
Semoga perkongsian tentang cara penjagaan kucing dengan betul supaya ianya sentiasa sihat dan gemuk ini dapat membantu serta memudahkan anda untuk membela atau sekurangnya dapat membuat keputusan yang tepat sebelum menjaganya sepanjang hayat. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog