Apabila bulan Ramadhan tiba para ibu yang berada di rumah pastinya memikirkan apakah cadangan lauk pauk resepi masakan dan menu untuk hidangan berbuka puasa dan waktu sahur nanti yang boleh disediakan.
Biasanya, resepi berbuka puasa atau menu iftar mempunyai berbagai jenis masakan yang dikongsikan oleh nenek moyang kita sejak dari zaman dulu sehingga kini turun temurun samada nasi atau kuih muih.
Sepanjang bulan Ramadhan, sebagai orang Islam kita digalakkan memakan makanan yang sesuai dan sihat untuk tubuh badan supaya boleh berpuasa penuh dalam sebulan tanpa sebarang masalah.
Anda boleh buat pilihan samada nak memasak juadah ala kampung dan menu yang berasaskan ayam, western food, yang paling laris serta viral di laman sosial, yang berkuah atau yang mudah macam orang bujang.
30 Menu Resepi Berbuka Puasa Yang Mudah 2023
Berikut adalah 30 jenis resepi berbuka puasa yang boleh anda pilih untuk menyediakan menu pilihan mengikut kehendak dan selera masing-masing.
1. Resepi Ikan Siakap Bakar Petai
Resepi siakap petai ini mungkin tidak ramai yang tahu dan agak berbeza dengan ikan bakar biasa yang mana ia dibakar bersama petai yang semestinya menambahkan selera makan. Resepi dari Puan Khatijah Jaafar.
Bahan-Bahan
- 1 ekor ikan siakap saiz sederhana
- 4 sudu besar cili kisar
- 1 sudu kecil belacan
- Daun pisang
- Air asam jawa
- 1 biji limau kasturi
- 1/2 cawan air asam jawa
- Gula
- Garam
Bahan Kisar
- 2 biji bawang besar merah - saiz sederhana
- 4 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 1/2 inci halia
- 1 hiris lengkuas
Cara Memasak
1. Tumis bahan kisar, cili kisar, belacan dan gula. Tumis sehingga ia pecah minyak.
2. Masukkan sedikit air asam jawa. Biarkan ia sebati sepenuhnya.
3. Masukkan petai kemudian tutupkan api.
4. Bersihkan ikan siakap dan kelar sebaiknya. Letakkan ia di atas daun pisang.
5. Sapukan ikan dengan bahan tumisan tadi. Balutkan ikan. Nak bagi ikan kekal moist, balut ikan tu dan pastikan dengan daun pisang yang tebal, maknanya biar jadi beberapa lapis. Ikan bakar akan moist dan sedap.
6. Bakarlah di atas pemanggang atau dalam (oven) ketuhar. Saya bakar dalam ketuhar dengan suhu 170 Celcius selama 20 - 30 minit.
Siap. Ketika anda nak makan, boleh perahkan limau kasturi. Ia akan jadi lebih sedap dan memang terangkat.
2. Resepi Tomyam Pekat & Sedap
Cara masak tomyam jadi sedap pedas dan masam manis serta kuah pekat macam makan di restoran Thai dikongsikan oleh Puan Khadijah Jaafar.
Rahsia untuk sedapkan tomyam supaya kaw-kaw adalah dengan guna pes tomyam atau pes cili Thai yang asli daripada negara Thailand yang mana kebanyakkan kedai siam guna pes yang sama.
Bertambah sedap apabila ditambahkan lagi dengan akar ketumbar yang sememangnya menambahkan aroma dan bau tomyam yang menyelerakan untuk berbuka puasa nanti.
Bahan-Bahan
- 3 ekor sotong besar - dihiris
- 13 ekor udang
- 1 biji bawang besar Holland - dibelah
- 2 hiris lengkuas
- 3 gelas air
- 4 sudu besar pes tomyam
- 1 1/2 sudu besar pes cili thai
- 4 helai daun limau purut
- 3 batang serai - diketuk
- 2 biji limau nipis
- 1 biji tomato
- Bunga kobis
- 5 biji cili api
- 1 sudu kecil sos ikan
- 2 atau 3 Akar ketumbar
- Daun ketumbar
- Garam
- Gula
Cara-Cara Memasak
1. Masukkan air, bawang besar, serai, lengkuas dan akar ketumbar serta masakkan sehingga ia mendidih.
2. Apabila air telah mendidih sepenuhnya masukkan pula pes tomyam dan pes cili Thai.
3. Pes tomyam dan pes cili Thai seperti ditunjukkan dalam gambar adalah yang paling sedap dan boleh didapati di Giant, AeON dan Tesco. Brand lain tak sesedap macam jenama ni.
4. Kemudian masukkan sotong, daun limau purut dan jagung muda. Biarkan lebih kurang selama 5 minit. Jangan terlalu lama sebab sotong akan jadi liat.
Untuk hilangkan rasa pahit sila pastikan anda membuang tulang tengah yang terdapat pada daun limau purut tersebut.
5. Masukkan udang berserta dengan daun kobis, tomato atau sebarang sayur sesuai.
6. Masukkan pula sos ikan supaya akan bangkit lagi rasa aroma tomyam. Dalam masakan Thai, sos ikan adalah bahan yang wajib.
Biarkan ia masak lebih kurang 3 hingga 4 minit sehingga udang masak sepenuhnya.
Saya lebih suka masam, manis dan pedas. Jadi, boleh tambahkan gula jika nak manis dan tak perlu letak sekiranya tak suka manis. Garam jangan dilupa pula.
7. Jika nak lebih pedas kaw-kaw, sila masukkan cili api ke dalam masakan tomyam. Sebenarnya pes cili itu pun dah pedas.
Saya lebih suka tambahkan pedas ketika nak makan nanti, jika kurang pedas maka cili padi akan ditambah mengikut kepedasan yang diinginkan selain anak juga boleh makan.
8. Step terakhir adalah dengan perahkan limau nipis atau limau kasturi untuk dapatkan rasa masam. Kuantiti limau mengikut tahap masam yang anda mahukan ikut selera sendiri. Siap.
3. Resepi Ayam Sambal Bali
Ayam sambal Bali version yang disediakan untuk santapan berbuka atau waktu sahur nanti, anda yang tentukan dan pastinya sedap sangat.
Masakan ayam sambal ini lebih kurang dengan ayam masak kicap pedas sahaja dan ia seakan-akan sama tetapi ada perbezaan yang ketara.
Menurut Puan Khadijah Jaafar, masakan ini lebih sedap dimakan bersama dengan nasi panas dan jika anda ingin cuba buat sendiri, boleh cuba resepi yang dikongsikan di bawah.
Bahan-Bahan
- 1 ekor ayam - potong kecil
- 1 sudu kecil Serbuk Kunyit
- 4 sudu besar Cili Kering yang sudah diblend
- 2 sudu besar Kicap Manis - ikut pada selera
- 2 batang Serai - diketuk
- 2 @ 3 helai Daun Limau Purut
- 1 biji Cili Merah - dihiris
- 1 biji Cili Hijau - dihiris
- Garam dan Gula secukup rasa
Nota : Jika suka pedas boleh tambahkan lagi cili kering.
Bahan Kisar
- 2 biji Bawang Besar
- 3 ulas Bawang Putih
- 1/2 inci Halia
Cara Menyediakan
1. Pertama sekali sila perap ayam bersama dengan garam serta kunyit.
2. Anda perlu goreng ayam yang telah disalut kunyit itu dengan cara separuh masak.
3. Ambilkan sedikit minyak gorengan ayam tadi untuk tumis. Tumiskan bahan kisar dengan cili kering sehingga ia jadi pecah minyak sepenuhnya.
4. Masukkan serai berserta dengan daun limau purut dan tumiskan lagi sehingga ia naik bauk semerbak mewangi di seluruh rumah.
5. Masukkan ayam dan gaulkan dengan sambalnya. Perasakan dengan garam dan gula. Tutup kuali dengan penutup serta biarkan ayam masak bersama sambalnya.
Setelah ayam masak sepenuhnya, anda boleh taburkan cili merah atau hijau yang dipotong seperti dalam gambar yang ditunjukkan. Sedap dan siap.
4. Resepi Sup Tulang Power
Resepi sup tulang power ini sangat mudah untuk disediakan. Yang paling penting ia menjadi dan sedap dimakan satu keluarga.
Ditambahkan dengan kicap pedas, sedapnya tak terkata dan cara untuk menyediakannya sangat senang dan tak cerewet. Anda yang baru belajar masak pun boleh buat.
Bahan-Bahan
- 1 kg tulang lembu
- 2 sudu besar rempah sup
- Daun sup daun bawang
- Air secukupnya
- Garam
Bahan Kisar
- 1 biji bawang besar merah
- 2 ulas bawang putih
- 1/2 inci halia
- 1 sudu kecil lada hitam
- 1 sudu kecil lada putih
Bahan Tumis
- 1 biji bawang besar merah
- 8 ulas bawang putih
- 1 batang kulit kayu manis
- 1 1/2 kuntum bunga lawang
- 4 biji buah pelaga
- 4 kuntum bunga cengkih
1. Sila rebus tulang lembu tersebut sehingga ia jadi separuh empuk.
2. Kemudian, sila blend bahan kisar dan pastikan bawang tidak terlalu hancur dan lumat. Jika terlalu hancur akan hilang manis bawang tersebut, itu pantang utama kata Puan Khadijah.
Tips yang terbaik yang boleh anda ikut adalah dengan blend terlebih dahulu lada hitam dan lada putih. Apabila dah hancur barulah masukkan bawang untuk dikisar separuh hancur.
3. Apabila daging jadi separuh empuk, sila masukkan bahan yang dikisar bersama dengan rempah sup. Kemudian sambung masak sehingga ia betul-betul empuk.
4. Bahan untuk tumis iaitu bawang besar perlu dihiris dan bawang putih pula diketuk sahaja. Tumiskan semua bahan tumis sehingga ia garing dan naik bau yang sedap.
5. Setelah itu, masukkan kesemua bahan yang telah siap ditumis itu tadi ke dalam sup tulang dan masak semula sehingga semua bahan sebati sepenuhnya. Siap.
5. Resepi Siakap 3 Rasa Kaw
Dah berbagai resepi siakap tiga rasa yang saya masak tapi semuanya biasa sahaja dan resepi ini adalah yang paling sedap dan kaw selain mudah untuk memasaknya.
Bahan-Bahan
- Seekor ikan siakap - bersih dan kelar
- 2 sudu besar cili kisar
- 4 sudu besar tepung jagung
- 2 helai daun limau purut
- 2 biji limau nipis
- Garam
- Gula - Saya guna gula thai @ brown sugar
- Minyak untuk menggoreng
- Sedikit daun bawang untuk hiasan
Bahan Sos
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar sos plum
- 1 sudu besar sos cili
- 1 sudu besar sos tomato
Bahan Kisar
- 1 biji bawang besar merah
- 2 ulas bawang putih
- Bahan Dipotong Dadu
- 1 biji bawang besar holland - warna kuning
- 1 biji tomato
- Sedikit nenas
- Bahan Dihiris
- 3 ulas bawang putih
- 3 batang serai
- 10 biji cili padi - optional
Cara Menyediakan
1. Lumurkan ikan siakap dengan garam bersama kunyit. Urutkan dengan manja ya. Selepas ia kena make up kemudian letakkan bedak tepung jagung.
2. Gorengkan ikan apabila minyak sudah betul-betul panas supaya ia tidak melekat pada kuali. Tahap garing ikan terpulang kepada citarasa sendiri.
3. Siapkan bahan-bahan hirisan dan yang perlu dipotong dadu seperti buah tomato. Pastikan daun limau purut dibuang urat tengah supaya ia tak pahit nanti.
4. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan semua bahan kisar dan cili kisar sehingga pecah minyak, masukkan bahan sos dan biarkan ia mendidih seketika.
5. Masukkan semua bahan hirisan dan limau purut kemudian kacau sehingga rata dan sekata.
6. Masukkan tomato dan nenas, kaca dan boleh tambahkan sedikit air jika anda sukakan kuah jadi cair. Seterusnya, masukkan garam, gula dan perahkan limau nipis sedikit.
7. Apabila semuanya telah siap, anda boleh tuangkan kuah di atas ikan dan taburkan sedikit daun bawang atau daun sup mengikut kehendak sendiri.
6. Resepi Gulai Siam Ikan Tongkol
Sekali pandang masakan ini seperti masak lemak cili padi tetapi versi Thai yang perlu ditumis dengan cara orang Siam asli.
Menu masakan ini jadi lebih lengkap apabila ditambah dengan daun limau yang menyebabkan satu rumah bau harum dan makan pula dengan nasi yang panas pasti bertambah.
Bahan-Bahan
- 1 ekor ikan tongkol - dibersihkan dan dipotong
- 3 cawan santan
- 5 helai daun limau purut
- 3 biji cili hijau - dibelah
- Terung siam/terung pipit
- Belimbing buluh
- Garam secukupnya
- Minyak untuk menumis
Bahan Kisar
- 10 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 5 batang serai
- 1 inci lengkuas
- 1 sudu makan biji lada hitam
- 1 inci belacan
- 20 biji cili api
- 2 inci kunyit
Cara Masak
1. Tumiskan kesemua bahan yang telah dikisar sehingga ia naik minyak sepenuhnya.
2. Masukkan santan, garam dan sedikit gula. Masukkan ikan serta terung sambil gaul hingga ikan nampak masak. Puan Khadijah Jaafar guna terung Siam dan guna terung pipit pun boleh dan gaul sehingga didih.
3. Masukkan buah belimbing, cili dan daun limau purut dan gaul lagi sehingga ia sekata, sehati dan sejiwa. Siap.
Baca : Resepi Air Sedap Hilang Dahaga Bulan Ramadan
7. Daging Bulgogi (Daging BBQKorea)
Lauk yang dimasak dijadikan menu berbuka puasa ini sangat sedap dan boleh diratah begitu sahaja dan biasanya anak-anak pasti suka.
Resepi ini sangat simple dan cara buat pula taklah susah serta sayur pula boleh diolah mengikut selera dan citarasa anda.
Bahan-Bahan
- 500g daging, hiris nipis
- 1/4 cawan Kicap Soya Cair
- 3 sudu besar kicap manis
- 1 sudu besar Minyak Bijan
- 4 ulas Bawang Putih dicincang
- 1 sudu kecil Cili Flakes/Paprika
- 1 sudu kecil Serbuk Lada Hitam
- 1 biji Bawang Besar, hiris
- 1 sudu besar Gula Perang
- 1 batang Lobak Merah, hiris halus
- 1 mangkuk Tau Meu (Taugeh Hijau) - tak de pun tak pe
- Sedikit garam
- Bijan disangai
Cara Buat
1. Masukkan semua bahan terkecuali lobak, enoki dan tau meu. Perapkan selama 1 hingga 2 jam supaya lebih mesra.
2. Setelah diperap dengan lamanya, anda boleh grill sehingga ia masak sepenuhnya.
3. Sebelum ia diangkat, masukkan hirisan lobak merah, tau meu dan enoki serta biarkan sehingga ia menjadi layu.
Apabila semua telah masak, tutupkan api dan sedia untuk dimakan serta dihidangkan dijadikan santapan berbuka puasa.
Nota : Rasanya sememangnya sedap dan boleh dihidangkan dengan nasi yang masih panas dan bersama dengan kimchi serta seaweed jika ada.
8. Ayam Madu Sos Tiram
Menu masakan ini lebih sesuai dimakan ketika sahur dan tidak salah jika dimasak khas untuk waktu berbuka puasa kerana ia boleh membuka selera kita dan yang penting simple dan mudah.
Bahan-Bahan
- 1/2 ekor ayam - potong kecil
- 4 ulas bawang putih - tumbuk kasar
- 1 inci halia - tumbuk kasar
- 1 labu bawang besar holland - hiris
- 1 sudu besar madu
- 3 sudu besar sos tiram
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- Garam
Cara Untuk Memasak
1. Gaulkan ayam bersama dengan serbuk kunyit dan garam.
2. Gorengkan ayam yang telah bersalut serbuk kunyit sehingga ia masak.
3. Ambilkan sedikit minyak gorengan ayam, tumiskan bawang putih dan halia sehingga ia naik bau. Masukkan bawang besar sehingga jadi layu.
4. Masukkan sos tiram dan madu. Tumiskan seketika, kalau nak berkuah tambahkan sedikit air sahaja. Bagi Puan Khadijah lebih suka kering jadi tak tambah air, suka sos tu melekat pada ayam.
5. Kemudian masukkan ayam dan gaulkan dengan sos sehingga sebati. Siap. Boleh hiaskan dengan potongan tomato dan cili hijau ikut kreativiti sendiri.
9. Resepi Nasi Beriani Ayam Simple
Resepi nasi beriani ayam ini memang mudah saja cara memasaknya dan yang pasti semua orang boleh buat kalau ikut cara-cara yang Puan Khadijah kongsikan.
Bahan-Bahan
235 gram beras Basmathi atau 1 tin kecil beras (tin susu pekat F&N yg kecil). Basuh dan rendamkan 30 minit (jangan lebih 30 minit nanti beras akan patah dan nasi lembik).
- Air sama dengan sukatan beras 1 tin kecil
- 1/2 ekor ayam - potong besar @ kecil
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 2 sudu besar rempah Lahori Briyani
- 3 sudu besar plain yogurt
- 2 ulas bawang putih -hiris kasar
- 1/2 inci halia - hiris kasar
- 1 biji cili hijau
- 1 labu bawang besar holand - hiris
- 1 biji tomato - dadukan kecil2
- 1 1/2 sudu besar tomato puri
- Minyak zaitun/ Minyak masak
- Daun ketumbar
- Hirisan almond goreng - hiasan
Nota: Ayam saya just potong separuh sebab lebih juicy.
Cara Masak
1. Perapkan ayam dengan serbuk kunyit, rempah Lahori Briyani dan Yogurt. Perap sekurangnya sejam atau sehingga 3 jam. Lagi lama perap ayam lebih sedap katanya.
2. Campurkan beras, air dan garam ke dalam periuk nasi atau rice cooker. Pastikan air tu rasanya lebih masin daripada biasa, Jika kurang garam nasi akan jadi tawar dan masakan nasi separuh masak.
3. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga naik bau.
4. Masukkan tomato dan tomato puri dan tumiskan sehingga tomato kelihatan layu.
5. Kemudian masukkan ayam yang telah diperap tadi dan masakkan ayam menjadi separuh masak.
6. Apabila ayam telah masak, anda boleh buatkan lapisan nasi. Di dalam periuk nasi lain buat lapisan ini. Untuk resepi ini hanya guna 4 lapisan sahaja ulang lapisan sehingga dan ayam habis.
- Lapisan pertama letakkan nasi
- Lapisan kedua masukkan ayam
- Lapisan ketiga masukkan nasi
- Lapisan ke4 masukkan ayam, daun ketumbar & cili hijau
7. Masakkan nasi sehingga betul-betul masak. Boleh juga nak masakkan di atas dapur gas, tutupkan periuk dengan Aluminium Foil.
8. Apabila nasi telah masak, sendukkan nasi dengan ayam ke dalam mangkuk lain dan gaul rata dengan perlahan-lahan supaya nasi tidak jadi patah.
9. Taburkan daun ketumbar dan hirisan Almod goreng. Kalau ada kismis yang digoreng lagi sedap. Ia boleh dihidangkan dengan salad dan Raita. Siap.
Baca : Resepi Nasi Beriani Ayam dan Kambing
10. Resepi Kari Ayam Sedap
Mungkin ada yang tengah berfikir nak masak apa kan? Apa kata hari ini cuba buat sendiri masakan kari ayam yang paling sedap lain dari yang lain.
Paun Khadijah berkongsi tips dan cara masak kari yang sedap dengan rahsia menumis dengan lama guna api yang perlahan saja dan masakan kari ayam akan lebih sedap seperti biasa.
Bahan-Bahan Penting
- 1 ekor ayam - dipotong
- 2 biji kentang - potong 4
- 1 1/2 labu bawang besar - hiris
- 5 ulas bawang putih - tumbuk
- 3 inci halia - tumbuk
- 2 1/2 cawan santan
- Air secukupnya
- 10 sudu besar rempah kari Babas - extra chilis
- 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
- 1 pelepah daun kari
- Garam secukup rasa
Rempah Tumis
- Sebatang kayu manis
- Sebiji bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 2 biji bunga cengkih
Cara Memasaknya
1. Panaskan minyak dan tumiskan rempah penumis bersama daun kari dan bawang besar yang telah dihiris sehingga menjadi kekuningan.
2. Kemudian, masukkan rempah kari, daun kunyit, bawang putih dan halia yang telah ditumbuk. Kacau seketika sehingga rempah sebati.
3. Masukkan ayam bersama ubi kentang dan gaulkan dengan rempah sehingga ayam nampak kecut, jika dah agak kering boleh tambahkan sedikit air.
4. Masukkan air dan teruskan memasak dengan menggunakan api yang perlahan sehingga ia mendidih.
5. Kemudian setelah mendidih masukkan pula santan dan garam. Renehkan sehingga ia menjadi pecah dan pastikan kentang telah empuk.
6. Sesuaikan dengan kepekatan kuah yang anda inginkan. Jika kuah terlalu pekat boleh tambahkan air panas dan masak lagi. Siap.
11. Resepi Meatball Thai Style
Cara nak buat meatball Thai sytle ini sangat mudah dan pastikan anda ikut langkah-langkah yang dikongsikan oleh Puan Khatijah agar masakan anda sedap dan menjadi.
Bahan-Bahan
- 1 1/2 cawan jagung segar - hiris @ biji jagung frozen
- 1 cawan daging cincang
- 1 biji telur
- 1 sudu besar akar daun ketumbar - dicincang halus
- 3 ulas bawang putih - ditumbuk
- 2 sudu teh lada hitam - ditumbuk
- 1 1/2 sudu besar tepung
- 1 sudu teh garam
- 1 sudu teh gula
Cara Menyediakan
1. Bawang putih dan lada hitam boleh ditumbuk sekali iaitu bersama
2. Hiriskan jagung segar dengan menjadi nipis.
3. Kemudian campurkan daging, jagung, tepung, bawang putih, lada hitam, akar ketumbar, telur, gula dan juga garam.
4. Gaulkan semua bahan tersebut sehingga menjadi sebati dan sekata.
5. Anda perlu goreng di dalam minyak yang betul-betul panas dengan guna api yang sederhana sehingga kelihatan keemasan. Tus dan hidangkan dengan sos cili atau tomato. Siap.
12. Resepi Ikan Patin Masak Tempoyak
Untuk resepi dan cara-cara untuk memasak masakan ikan patin masak tempoyak asli dari Temerloh Pahang, anda boleh rujuk perkongsian artikel tersebut di bawah:
Baca : Resepi Masak Tempoyak Ikan Patin
13. Resepi Ketam Masak Cili
Untuk masakan ketam masak cili ini, anda boleh guna cili padi atau cili burung serta cili kering mengikut selera sendiri. Namun, jika nak sedap sila ikut apa yang dikongsikan oleh Puan Khatijah ini.
Bahan Utama
- 5 ekor ketam
Bahan Kisar
- 12 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang merah
Bahan Lain
- 4 sudu besar cili kisar
- 2 sudu besar sos cili
- 1 sudu besar sos tomato
- 1 biji telur
- 1/2 sudu kecil tepung jagung
- 3/4 cawan air
- Sedikit belacan
- Garam
- Gula
Cara-Cara Memasaknya
1. Tumiskan bahan yang telah dikisar iaitu cili dan belacan. Jika anda tak suka belacan tak payah letak. Tumiskan hingga ia pecah minyak.
2. Kemudian masukkan sos cili dan juga sos tomato . Tumis seketika.
3. Selepas itu masukkan pula ketam. Potonglah ketam tersebut ikut selera sendiri. Masukkan sedikit air. Biarkan ketam itu sehingga kelihatan masak. Perasakan dengan garam dan gula.
4. Setelah itu pecahkan telur dan pukul sedikit guna sudu. Tuangkan ke dalam kuali. Kacau kan masakan tersebut.
5. Apabila ia kelihatan seperti bintil-bintil telur. Masukkan air yang telah dibancuhkan dengan tepung jagung. Gaulkan ketam hingga kuahnya menyaluti ketam.
Note: Tujuan tepung jagung digunakan adalah untuk menjadikan kuah lebih pekat dan tidak cair. Kalau anda suka cair tak perlu masukkan tepung jagung. Siap.
- Nasi Arab Mandy Ayam Sedap
- Singgang Daging Terengganu
- Bubur Lambuk Ganu Best
- Cucur Ikan Bilis Lembut
- Ayam Percik Warisan
- Tomyam Pekat Kedai Siam
- Nasi Kerabu Original
- Nasi Ayam Hainan Muallaf
- Nasi Ayam Thailand Viral
- Ikan Patin Tempoyak Temerloh
- Nasi Beriani Ayam & Kambing
- Daging Masak Merak Thai
- Gulai Kawah Kelate
- Kerabu Sotong Thai
- Ayam Masak Merah Kenduri
- Chicken Chop Grill
- Rendang Ayam Mudah
- Kebab Ayam Tersedap
Kesimpulan
Untuk 17 jenis lagi, anda boleh rujuk pada pautan khas di atas untuk menu juadah berbuka puasa ketika bulan Ramadhan atau boleh tengok di laman Facebook yang berkongsi dari Puan Khatijah.
Semoga perkongsian 30 resepi menu berbuka puasa ala kampung dan western ini dapat membantu anda yang kehilangan idea untuk menyediakan masakan ketika buka puasa dan juga waktu sahur. Semoga bermanfaat. - Bukit Besi Blog